Sunderland Ada Peluang ‘Benam’ Cabaran Burnley
Aksi terakhir English Premier League minggu ke-24 pagi ini bakal mempertemukan antara Sunderland dan Burnley di Stadium of Light.
Dengan membawa status selaku tuan rumah, sudah tentu Sunderland bakal menjadi tumpuan utama jika mereka mampu atau tidak membenam cabaran pelawat.
Ini kerana skuad kendalian Regis Le Bris sebelum itu merekodkan kekalahan 0-2 di tangan Burnley pada pusingan pertama EPL ketika aksi berlangsung di Turf Moor.
Walaupun begitu, perjalanan semasa kedua pasukan tersebut juga kini sudah berbeza, dengan Sunderland sedang memburu tempat dalam kelompok 10 terbaik di EPL.
Manakala Burnley pula, kekal berada pada zon bawahan liga dengan kini hanya mampu meraih 15 mata sahaja selepas mengharungi 23 perlawanan.
Apapun, momentum semasa Sunderland kini cukup menggusarkan dalam kalangan peminat, apabila mereka hanya mampu meraih satu kemenangan sahaja dalam enam aksi terakhir diharungi.
Ini menunjukkan Sunderland mula goyah daripada segi konsistensi dalam permainan dengan siri kecederaan juga mula menghambat skuad tersebut.
Kekalahan 1-3 sebelum ini di tangan West Ham juga menunjukkan kualiti permainan mereka tampak sedikit menurun daripada kebiasaan dan itu sedikit sebanyak memberi kesan pada perjalanan kelab tersebut untuk memburu mata.
Namun, aksi hari ini bakal berlangsung di Stadium of Light, laman rasmi Sunderland dan mereka masih lagi menjadi satu-satunya kelab yang masih belum tewas di halaman sendiri musim 25/26.
Pastinya ia memberi suatu tekanan kepada Burnley yang hadir selaku pelawat dengan membawa reputasi kurang baik untuk cuba meraih kemenangan.
Tetapi, kelab tersebut tetap membawa sedikit motivasi menerusi kejayaan mereka untuk terikat seri 2-2 ketika berdepan Tottenham Hotspur. Sebuah pasikan yang dibarisi ramai bintang di segenap posisi.
Secara keseluruhan, Burnley kini mencatat keputusan seri untuk tiga perlawanan berturut-turut ketika berdepan Manchester United, Liverpool, dan Tottenham Hotspur.
Jika diambil daripada sudut positif, ia merupakan sebuah kejayaan kecil buat pasukan seperti Burnley untuk meraih keputusan seri ketika berdepan kelab bola sepak elit seperti Man United, Liverpool, dan Spurs.
Namun, mereka sebenarnya sudah kerugian sebanyak tiga kali untuk meraih sebarang kemenangan dan gagal keluar daripada zon penyingkiran musim ini.
Apatah lagi rekod pasukan tersebut di Stadium of Light juga sangat lemah, selepas Burnley sekadar merekodkan satu kemenangan sejak 12 perlawanan terakhir di sana.
Masalah utama Burnley untuk aksi ini tentunya terarah kepada konsistensi pertahanan mereka yang sering melepaskan gol penting sehingga mengakibatkan skuad kendalian Scott Parker kehilangan mata penting.
Kembali pada Sunderland, tanpa khidmat Granit Xhaka jelas ia memberi masalah cukup besar buat pasukan tersebut untuk terus mengekalkan konsistensi dalam permainan.
Pasukan tersebut kini kehilangan seseorang pemain berpengalaman yang bijak mengawal tempo permainan dan mampu mematikan ancaman lawan dengan lebih awal di posisi tengah.
Apapun, kelebihan di halaman sendiri memberi sedikit sinar buat Sunderland kini untuk cuba meraih tiga mata penting dengan berhadapan salah satu kelab tercorot musim ini, Burnley.
Pandangan anda?






