Sumbangan PSJ Kepada Sukan Malaysia Sepanjang 2025
Sejak beberapa bulan lepas, nama Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor (PSJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kerap dikritik.
Sejak beberapa bulan lepas, nama Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor (PSJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kerap dikritik.
Namun dalam keghairahan kritikan itu dilontarkan, mereka lupa sumbangan baginda. Sejak 2013, Tunku Ismail adalah antara penyumbang terbesar kemajuan sukan di Malaysia. Ini termasuklah sepanjang tahun 2025.
Januari: Pengurusan Harimau Malaya dibina kembali & jalinan kerjasama JDT/PSG
Wajah baharu pengurusan skuad Harimau Malaya pada Januari 2025 tidak mungkin akan terbentuk tanpa sokongan PSJ.
Rob Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan menyifatkan visi dan wawasan PSJ menjadi asbab mengapa beliau menyertai skuad Harimau Malaya.
Begitu juga dengan Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski. “Tanpa semangat, wawasan, keazaman dan visi baginda dalam projek ini, ia tidak akan menjadi seperti hari ini,” ujar Cklamovski.
Di JDT pula, awal tahun 2025 jadi detik yang hebat buat mereka. Ini selepas PSJ berjaya menyakinkan kelab gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) untuk mencipta kerjasama yang merangkumi pelbagai perkara, termasuk pembangunan akar umbi serta perkongsian kepakaran dan teknologi.
Kerjasama ini meletakkan nama kelab Malaysia gah di mata bola sepak global — sesuatu yang tak terjangkau dek akal fikiran orang Malaysia sebelum ini.
Februari: JDT terus megah di mata Asia
Pada bulan Februari, Harimau Selatan konsisten mengharumkan nama negara dengan pelbagai pencapaian membanggakan.
Kali ini, JDT tampil selaku penyumbang mata terbesar untuk ranking MA Malaysia iaitu 69.5%.
Jumlah kehadiran para penyokong Harimau Selatan tidak menghampakan di pentas Asia. JDT membuktikan kemampuannya menarik lebih 30,000 penyokong untuk memenuhi Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Bola sepak Malaysia dah mati, kata pengkritik.
Prestasi konsisten JDT di saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 24/25 pula membolehkan ranking MA Malaysia meningkat dan memintas Australia serta Vietnam. Ini memberi faedah kepada satu lagi kelab Malaysia apabila mendapat satu slot automatik ke saingan AFC Champions League 2 (ACL2).
Mac: JDT lakar rekod baharu di pentas tertinggi Asia
Pada bulan Mac, satu lagi rekod tercipta. Kali ini JDT muncul selaku kelab Malaysia pertama yang menyumbang mata MA tertinggi untuk mengesahkan slot buat dua kelab Malaysia di saingan ACLE serta ACL2.
April: Berjaya tandatangani 2 ‘ikon’ sukan terkenal dunia
Tiada siapa menjangkakan gerak kerja dan visi PSJ berjaya menarik minat dua legenda sukan dunia, Dato’ Lee Chong Wei (badminton) dan Sonny Bill William (ragbi) menyertai Johor selaku duta.
Di bawah pemerintahan baginda, PSJ menjadikan Johor sebagai hab pembangunan sukan Malaysia. Faedahnya bukan sahaja akan dinikmati oleh rakyat Johor. Malah akan dinikmati seluruh rakyat Malaysia kerana inspirasi itu boleh ditemui di Johor.
Tak mustahil satu hari nanti deretan atlet berkualiti tinggi buat Malaysia akan terbentuk hasil pelaburan sukan di Johor.
Mei: Visi dan sumbangan buat sukan Johor serta Harimau Malaya
Sukan berbasikal juga turut mendapat perhatian PSJ. Perkara tersebut dikongsikan oleh pelumba profesional negara, Shah Firdaus apabila baginda dilaporkan mahu membangunkan bakat elit sepertinya dengan lebih pesat di Johor.
Malah, baginda sendiri mahu melihat Johor selaku peneraju agenda ‘Sport Nation’ pada tahun 2030 dengan pelbagai inisiatif disuarakan.
Dan seperti biasa pada bulan ini, JDT terus memastikan Malaysia menjadi negara keempat yang meraih kutipan mata tertinggi untuk ranking MA musim 24/25.
Seperti yang selalu dilakukan baginda sejak 2015, PSJ turut tidak lokek berkongsi segala fasiliti latihan JDT yang serba lengkap dan canggih untuk kemudahan skuad Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Julai: JDT bantu cipta kolaborasi MSSJ dan Persatuan Bolasepak Cina Johor
“Di mana pemain bila sepak Cina Malaysia,” soal peminat bola sepak Malaysia.
Ketika orang lain hanya mampu memberikan pendapat, PSJ memberikan inisiatif konkrit.
Dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan dan pembangunan bola sepak di sekolah-sekolah Cina dalam Johor, satu kolaborasi diwujudkan.
Tujuan kolaborasi ini untuk memastikan:
Penglibatan lebih ramai pelajar Cina daripada sekolah-sekolah di Johor dalam bola sepak.
Pembangunan bakat-bakat muda di peringkat sekolah lebih tersusun.
Memperkasakan penganjuran kejohanan bola sepak peringkat MSSJ untuk sekolah-sekolah Cina.
Oktober: Peter Cklamovski dedah sumbangan PSJ buat Harimau Malaya & kejayaan Arif Aiman selaku 3 bintang Asia terbaik
Seusai meraikan kemenangan 3-0 ke atas Laos pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 peringkat kumpulan F di Vientiane, Cklamovski tampil mendedahkan segala jasa PSJ buat skuad kebangsaan.
Ujar pengendali tersebut, baginda telah membuat pelaburan besar, mendapatkan sokongan kerajaan, serta menyediakan kemudahan logistik terbaik untuk keselesaan kem negara.
Pada bulan inilah baginda berjaya menyakinkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi peruntukan bernilai RM15 juta kepada FAM bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya daripada pelbagai aspek.
Cklamovski lantang mempertahankan baginda susulan beberapa kritikan dan pandangan negatif sesetengah peminat kepada baginda.
Terarah kepada Arif Aiman pula, bintang Harimau Malaya ini mencipta sejarah selaku pemain Malaysia pertama yang tersenarai untuk tiga calon akhir bagi anugerah Pemain Terbaik AFC 2025 bersama nama besar lain, Akram Afif (Qatar) serta Salem Al-Dawsari (Arab Saudi).
Tiada siapa boleh menafikan Arif Aiman adalah pemain terbaik Malaysia ketika ini. Dan tiada siapa boleh menafikan usaha dan pelaburan PSJ sedikit sebanyak membolehkan bakat ‘sekali seumur hidup’ seperti Arif terlahir.
November: Cipta hubungan strategik bersama Khabib Nurmagomedov serta perjuang nama Malaysia di CAS
Menjengah ke penghujung tahun 2025, PSJ tidak pernah berhenti melihat peluang sukan-sukan dalam negara untuk terus dibangunkan.
Bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov menjadi nama baharu yang berjaya menjalinkan kerjasama dengan baginda dan Gym Khabib bakal dibina di Johor, selepas majlis pecah tanah telah dibuat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri.
Pada masa sama, PSJ juga tidak lupa untuk terus menjadi individu penting yang membantu nasib skuad bola sepak kebangsaan kini yang sedang ditekan oleh FIFA.
Tatkala negara dimomokkan dengan hal negatif tentang hukuman bakal dikenakan ke atas skuad bola sepak Malaysia tanpa sebarang inisiatif membantu, PSJ lantang mempertahankannya di media sosial.
Malah, PSJ sendiri tampil untuk menanggung segala kos berkenaan isu melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang digantung ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Disember: Hafizh Syahrin banggakan JDT & Malaysia
Sensasi membabitkan nama JDT di pentas antarabangsa menerusi kejayaan diteruskan, dengan kali ini Hafizh Syahrin yang merupakan pelumba JDT Racing Team merangkul gelaran juara keseluruhan ASB1000 musim 20255 bagi saingan ARRC.
Ramai pandai bercakap tapi tiada usaha dibuat
Seperti yang PSJ beritahu, baginda telah dikritik dan dikambinghitamkan sejak 2013. Lebih sedekad. Tetapi kita beruntung kerana kerja keras baginda memajukan sukan Malaysia terus berjalan. Orang lain mungkin akan ‘koyak’ dan mengundurkan diri.
Sehingga kini, hanya PSJ sahaja individu yang ‘cakap serupa bikin’. Nasihatnya relevan kerana disertai dengan rekod kejayaannya di JDT dan Johor. Teguran baginda sepatutnya diambil pengajaran kerana disokong dengan contoh.
Tetapi malangnya kita lebih rela mendengar cakap ‘tin kosong’. Kerana tin kosong itu membuatkan kita selesa. Nasihat PSJ membuatkan kita tak selesa.
Biar apapun kutukan dan kritikan yang diterimanya, anda tak boleh menafikan PSJ individu paling banyak menyumbang kepada kemajuan sukan di Malaysia — sejak 2013 dan sehingga kini.















