Steven Gerrard Malu Dengan Liverpool
Malu legenda The Reds tengok persembahan Liverpool semalam.
Legenda bola sepak Liverpool, Steven Gerrard antara yang tidak berpuas hati dengan kualiti permainan ditampilkan oleh kelab tersebut pada aksi semalam.
Semalam, Liverpool mencatat kekalahan terbaharu mereka di pentas English Premier League (EPL), dengan kali ini mereka tewas di tangan Manchester United menerusi keputusan 2-3.
Beraksi di Old Trafford, skuad kendalian Arne Slot tampil serba tempang tanpa beberapa tonggak utama mereka yang menyaksikan mereka sukar konsisten dalam tempoh 90 minit permainan.
Liverpool terkejut awal
Seawal minit ke-6 lagi pelawat telah dikejutkan dengan jaringan pantas daripada pemain serangan dari Brazil tuan rumah, Matheus Cunha sebelum Benjamin Sesko menambah tekanan melalui gol kontroversi di minit ke-14.
Liverpool cuba bangkit untuk meledak dua gol penyamaan pada minit ke-47 dan 56 dalam misi menghidupkan kembali peluang sekurangnya seri di gelanggang lawan.
Namun, jaringan cantik daripada Kobbie Mainoo pada minit ke-77 menghancurkan harapan Slot untuk mendapatkan sesuatu yang positif dengan sekurangnya seri pada perlawanan tersebut.
Dengan kekalahan itu, Liverpool kekal di tangga keempat dengan dibezakan enam mata berbanding Man United yang terus kukuh pada tempat ketiga kini dan berjaya melayakkan diri ke pentas UEFA Champions League musim hadapan.
Steven Gerrard luah rasa kecewa
Menurut Gerrard, beliau langsung tidak boleh menerima akan kekalahan tersebut, selepas dirinya melihat sendiri kualiti permainan ditampilkan oleh The Reds sepanjang berdepan Man United semalam.
Jelas beliau, skuad kendalian Slot itu gagal menawarkan keseimbangan yang baik dalam permainan dan menjadi faktor utama mengapa The Red Devils mudah memanipulasi segalanya di atas padang.
Posisi tengah antara yang ditekankan Gerrard, selepas pasukan itu seolah hilang kestabilan baik untuk mengawal tempo permainan, walaupun dibarisi bintang handalan seperti Florian Wirtz, Dominik Szoboszlai, Ryan Gravenberch, serta Alexis Mac Allister.
Secara keseluruhan, kekalahan tersebut dianggap tidak terletak kepada individu di atas padang, tetapi membabitkan kerjasama berpasukan yang sangat lemah.
Pada masa sama, Gerrard sendiri turut mempersoalkan tentang kredibiliti Slot pada perlawan berkenaan daripada segi:
Pengurusan taktikal yang lemah
Organisasi pasukan di atas padang tak stabil
Tiada sebarang rencana lebih baik ketika pasukan ketinggalan
Secara keseluruhan, Gerrard sangat kecewa akan kekalahan Liverpool, kerana beliau menganggap prestasi ditampilkan pasukan itu pada perlawanan semalam tidak boleh diterima kerana ia merupakan aksi cukup besar dan penting.
Amukan di media sosial
Seperti kebiasaan, para penyokong setia The Reds sangat kecewa akan prestasi yang ditampilkan oleh Slot buat pasukan tersebut, selain kekalahan di tangan ‘rival’ seperti Man United untuk dua kali di pentas EPL musim ini.
Beberapa perubahan turut dituntut, seperti Slot diminta meninggalkan kelab itu secara segera dan ada pemain Liverpool sendiri diharap tidak lagi bersama pasukan berkenaan pada saingan hadapan.
Apapun, ini merupakan isyarat penting buat pengurusan kelab menilai secepat mungkin kelemahan semasa, supaya ianya tidak lagi berulang pada musim hadapan.






