Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya berjaya mencatat kemenangan untuk kali kedua berturut-turut dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 26/27, dengan kali ini wakil kelab dari Thailand, Port FC menjadi mangsa.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, semalam, JDT unggul memperoleh kemenangan 3-0 ke atas wakil kelab dari Thailand itu dengan cukup mudah.
Tiga gol tersebut terhasil menerusi Jonathan Silva, Bergson da Silva, dan Stoichkov untuk mengesahkan tiga mata penting buat Harimau Selatan di halaman sendiri tanpa berbalas.
Kemenangan itu menjadikan JDT kini unggul dengan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan dengan mereka memperoleh dua kemenangan dan sekali keputusan seri untuk meraih tujuh mata.
Setakat ini, dua kelab dari Thailand dan satu wakil kelab Korea Selatan sudah diharungi skuad kendalian Xisco Munoz dengan mereka konsisten dalam saingan pentas tertinggi Asia musim ini.
Statistik JDT unggul
Pada aksi bertemu Port FC semalam, JDT jelas mendominasi permainan dengan mereka dilihat langsung tidak memiliki sebarang masalah besar untuk mengatasi pasukan lawan dalam tempoh 90 minit permainan.
Menerusi perkongsian Sofascore, JDT menguasai permainan sebanyak 66% dan lebih banyak mencipta peluang berbanding pelawat yang tampak serba tidak menjadi untuk menyerap tekanan Harimau Selatan.
Lebih menarik, JDT berjaya mencipta 27 percubaan dengan 7 daripadanya tepat ke sasaran dan mampu merekodkan 3 gol secara keseluruhan. Ini merupakan gambaran betapa teruknya pertahanan lawan dan siri serangan Harimau Selatan cukup unggul.
Apa yang lebih mencuri tumpuan, Port FC pula hanya mampu mencipta dua percubaan sahaja dan tiada satu yang tepat untuk menguji Ahmad Syihan Hazmi dengan lebih baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Paling kritikal, Port FC gagal merekodkan sebarang percubaan langsung sepanjang tempoh separuh masa pertama perlawanan dan lebih banyak bertahan daripada mencipta peluang.
Arif Aiman paling cemerlang
Seperti biasa, Arif Aiman sentiasa cemerlang baik di pentas domestik atau saingan tertinggi Asia, dengan beliau sekali membuktikannya ketika aksi bertemu Port FC semalam di halaman sendiri.
Walaupun tidak meledak sebarang gol, Arif tampil mencipta satu ‘assist’ yang memberi peluang kepada Jonathan Silva untuk merekodkan gol pertama permainan pada minit ke-53.
Sofascore sendiri memberi rating tertinggi kepada Arif dengan beliau mendapat 8.0/10 mata secara keseluruhan, hasil sumbangan besarnya kepada siri serangan JDT untuk menekan pasukan lawan.
Berikut merupakan statistik Arif sepanjang tempoh 90 minit beraksi semalam:
•1 ‘assist’
•2 hantaran kunci
•35/40 hantaran tepat
•7 percubaan
•2 percubaan tepat
•2 gelecekan berjaya
•3 kali menyumbang kepada pertahanan
Baik daripada segi gelecekan, visi, dan kreativiti, Arif juga tampil tajam dengan menjadi ancaman terbesar buat Port FC dalam peluang mendapatkan gol pada aksi semalam untuk kekal selaku kebanggaan penyokong.
JDT harumkan Malaysia
Setakat ini, JDT kekal selaku satu-satunya sebagai wakil kelab dari Asia Tenggara yang masih belum merekodkan kekalahan selepas mengharungi 3 perlawanan di pentas ACLE musim ini.
Menariknya, JDT antara pasukan yang cukup kukuh di posisi pertahanan apabila mereka hanya melepaskan 1 gol sahaja dan mencipta 2 ‘clean sheets’ untuk 2 perlawanan berturut-turut kini.
Saingan ACLE mungkin masih awal, tetapi ini menjadi pemangkin semangat terbaik buat Harimau Selatan untuk meneruskan rentak positif mereka pada saingan 26/27 serta mara lebih jauh seperti musim lalu.







