Saingan 16 terbaik Piala FA pusingan pertama sudah pun tamat dengan membabitkan beberapa pasukan, termasuk aksi antara Kedah FA bersama Star City.
Pada aksi tersebut, kejutan berlaku apabila Kedah FA yang hadir dari saingan Liga A1 Semi-Pro mampu mengimbangi kekuatan kelab Liga Super, Star City dengan aksi cukup menyakinkan.
Kedua pasukan tersebut saling terikat seri 2-2, dengan Kedah berjaya mencipta kebangkitan pada mini akhir perlawanan menerusi ledakan anak jati negeri tersebut, Zhafir Yusoff untuk mengecewakan pelawat.
Kenapa Kedah wajar dipuji?
Selain hadir dari saingan A1 berbanding Star City mewakili kelab Liga Super, jurang kekuatan atas kertas kedua pasukan tersebut juga boleh dikatakan berbeza daripada segi kualiti, kuota import, serta bintang tempatan berpengalaman.
Kedah hadir dengan tiga pemain import sahaja pada tersebut dengan mempertaruhkan:
Ibrahima Barry (pertahanan)
Anthony Arthur (tengah)
Raymond Mbugua Murugi (penyerang)
Selebihnya mereka bergantung kepada pemain tempatan sahaja, termasuk empat daripadanya merupakan tonggak bawah 23 tahun, selain Akmal Rizal selaku jurulatih utama pasukan berkenaan.
Hasilnya, mereka bukan sahaja berjaya mengimbangi Star City, sebaliknya menguasai permainan menerusi beberapa peluang dijelmakan pada separuh masa kedua.
Star City mengecewakan
Hadir dengan reputasi kelab dari saingan Liga Super, dan mempertaruhkan kesebelasan utama terbaik, segalanya serba tidak menjadi buat pasukan tersebut pada aksi menentang Kedah.
Pada aksi berkenaan, Star City telah pun mempertaruhkan lapan pemain import termasuk di bangku simpanan, selain dibarisi oleh ramai tonggak berpengalaman negara.
Malah kelab berkenaan juga dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman yang pernah menempa kejayaan di Malaysia, Mehmet Durakovic pada musim ini, termasuk dua pembantu jurulatih dari luar negara.
Tetapi apa yang berlaku? Mereka masih lagi gagal menyesuaikan diri sejak aksi pertama Liga Super serta saingan Piala FA ini untuk cuba mendapatkan sebarang kemenangan yang diidamkan.
Di pentas Liga Super, Star City yang dijenamakan daripada Imigresen FC telah merekodkan dua kekalahan berturut-turut ketika berdepan Sabah serta Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kualiti permainan langsung tidak konsisten.
Malah mereka masih lagi kemarau daripada meraih sebarang kemenangan, walaupun berdepan dengan kelab daripada saingan A1, Kedah yang hadir serba kekurangan daripada kualiti pemain.
Masih perlukan banyak masa?
Mungkin ini natijah yang kelab harus terima selepas rombakan begitu besar dibuat dalam kalangan pemain tempatan, import, serta barisan kejurulatihan walaupun tampil positif pada saingan musim lalu.
Jika kita imbas kembali tiga perlawanan diharungi Star City, mereka seolah-olah masih mencari keserasian sesama pemain serta tiada identiti permainan yang jelas untuk dipertaruhkan ketika bertemu pasukan lawan.
Mehmet Durakovic sendiri dilihat masih bergelut untuk mendapatkan kesebelasan utama pemain serta mempertaruhkan pemain lebih bersesuaian di atas padang, selain isu pertahanan yang sangat lemau.
Memang saingan 2026/2027 baru bermula, tetapi jika mereka lewat untuk bangkit, sudah tentu kelab-kelab lain bakal meninggalkan Star City dan menjadi sebuah kerugian untuk pasukan berkenaan yang dilihat giat mendapatkan ramai pemain, tetapi gagal merekodkan sesuatu lebih positif.






