SSI Mimpi Ngeri Kelab-Kelab Asia
Inilah kesannya apabila mereka tampil dengan keyakinan cukup tinggi, tanpa sedar akan bahayanya SSI.
Saingan AFC Champions League Elite pusingan 16 terbaik telah pun berlangsung semalam, dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membanggakan Malaysia.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), JDT benar-benar ingin membuktikan mereka mampu untuk mengatasi lawan yang beberapa minggu lalu pernah mengetepikan Harimau Selatan.
•Corak permainan lebih menyakinkan
•Disiplin permainan yang kukuh
•Kurang membuat kesilapan mudah
Hasilnya, JDT berjaya meraih kemenangan bergaya 3-1 untuk dibawa bekalan pada aksi akan datang di gelanggang pasukan lawan.
Apa masalah Sanfrecce Hiroshima?
Mereka hadir dengan keyakinan penuh, seolah kejayaan lalu mampu diulangi tanpa sedar aksi tersebut berlangsung di SSI.
Ya, stadium yang menjadi saksi banyak pasukan-pasukan elit dari Asia sudah pun tumbang sejak beberapa musim lalu di tangan Harimau Selatan.
Malah, aksi terbaharu sebelum itu juga menyaksikan satu lagi wakil kelab dari Jepun, Vissel Kobe sendiri turut merasai kekalahan di gelanggang sama.
Pada aksi berkenaan, Hiroshima gagal menyesuaikan diri dalam permainan dengan baik, sehingga mereka mudah ditekan dari segenap penjuru.
•Pelan taktikal berterabur
•Kelemahan disiplin pertahanan
•Tiada kreativiti menyerang
JDT cuma hadir dengan satu visi, menekan demi mendapatkan gol. Dan mereka berjaya memperolehinya dengan cukup baik pada aksi tersebut.
JDT kebanggaan Malaysia
Untuk rekod, musim ini sahaja tiga kelab dari Jepun gagal menewaskan JDT di SSI walaupun mempunyai reputasi yang cukup tinggi di pentas Asia.
Machida Zelvia, Vissel Kobe, dan Sanfrecce Hiroshima sudah pun merasai betapa ngerinya pengalaman mereka perlu harungi di SSI musim ini dalam tempoh 90 minit.
Kini, JDT selangkah sahaja lagi ke pusingan suku akhir. Suatu lagi sejarah yang cuba digapai pasukan yang mewakili salah satu negara kecil dalam bola sepak dari Asia Tenggara.
Berjaya atau tidak, JDT sudah meletakkan suatu ‘benchmark’ yang terlalu jauh untuk digapai pasukan tempatan lain, dan itulah yang menjadikan mereka sebagai peneraju terbaik sejak beberapa tahun lalu.





