Skuad ‘Tangkap Muat’ Harimau Malaya Dipuji Penyokong
Ramai muka-muka baharu dipanggil, nampak berani Harimau Malaya kali ini untuk cabar kejuaraan Asean!
Penantian peminat untuk melihat skuad Harimau Malaya diperkenalkan menjelang saingan kempen AFF Hyundai Cup 2026 akhirnya tercapai jua.
Laman rasmi Malaysia NT secara rasminya sebentar tadi telah pun memperkenalkan senarai 26 pemain kebangsaan untuk mengharungi kejohanan tersebut bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Terdahulu, Malaysia bakal memulakan kempen kejohanan berkenaan di peringkat Kumpulan B pada 25 Julai ini dengan bertemu Myanmar terlebih dahulu.
Para peminat mula mempersoalkan, apakah Malaysia bakal bersaing atau kekal senyap sahaja selepas tiada sebarang perkembangan terbaharu mereka menjelang lejohanan tersebut.
Apatah lagi, beberapa negara lain seperti Singapura dilihat giat membuat persiapan dengan aksi persahabatan dan kem latihan pusat yang bermula lebih awal.
Pertaruhan berani Tan Cheng Hoe
Akhirnya, Malaysian NT telah pun mengumumkan senarai 26 pemain sebentar tadi dengan pelbagai reaksi telah dikongsikan oleh peminat di media sosial.
Untuk posisi penjaga gol, tiada kelibat Syihan Hazmi dengan Azri Ghani, Haziq Aiman, dan Rahadiazli Rahalim dipertaruhkan untuk mengawal benteng terakhir negara.
Bagi posisi pertahanan, sedikit unik apabila Tan menyenaraikan pemain seperti V. Ruventhiran, Alif Ahmad, dan Faris Danish selain dipacu Jimmy Raymond, Rodney Celvin, bersama Ubaidullah Shamsul.
Bahagian tengah, tumpuan pastinya terarah kepada bintang bola sepak di Amerika Syarikat, Wan Kuzain yang disenaraikan selain dua pemain pemain naturalisasi, Endrick dos Santos serta Sergio Aguero turut dipanggil.
Bintang muda seperti Ziad Basheer, Zhafri Yahya Engku Shakir, Ibrahim Manusi serta Aliff Haiqal lau mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong tentang keupayaan mereka buat Harimau Malaya.
Posisi serangan paling menggusarkan sekali, kerana Tan hanya menyenaraikan pemain kurang berpengaruh untuk mengemudi jentera hadapan negara.
Nama Syafiq Ahmad antara kembali dipanggil selain turut dibantu oleh Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, Fazrul Amir, G. Pavithran, Richard Chin, serta bintang bola sepak Jepun, Hadi Fayyadh.
Pujian dan kritikan penyokong
Di media sosial, ada yang memuji pasukan kebangsaan negara dengan mereka menyifatkan ini peluang buat muka-muka baharu untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
Malah, ramai menganggap pasukan lawan pastinya akan sedikit ‘pening’ kali ini untuk mengkaji skuad kebangsaan dan percaturan di kesebelasan utama.
Tak kurang juga, kritikan turut diluahkan dengan ramai menyifatkan perjalanan Harimau Malaya di kejohanan itu akan berakhir lebih awal dan tampil mengelirukan rakan sepasukan serta lawan.
Apapun, sokongan perlu diberikan kini buat Malaysia yang akan memulakan kempen AFF tidak lama sahaja lagi. Ada kemungkinan juga kejutan bakal dilakar Tan bersama skuad kebangsaan kali ini tanpa kita sedari.
Moga, kejayaan mengiringi skuad kebangsaan di pentas Asia Tenggara.





