Sila Turunkan 'Bruno Fernandes Malaysia'!
Dalam keadaan semasa Harimau Malaya kini, dah tiba masa beliau dipertaruhkan dalam kesebelasan utama.
Malaysia bakal mengharungi aksi keempat mereka hari ini dalam saingan Piala Asean 2026, dengan membuat perhitungan seterusnya pula menentang cabaran Filipina di halaman sendiri.
Atas kertas, kelebihan dilihat terarah kepada Harimau Malaya, kerana skuad kebangsaan kita bakal beraksi di halaman sendiri serta mendapat sokongan padu para penyokong kesayangan.
Pada masa sama, cabaran semasa Filipina juga tidak boleh diperkecilkan selepas kejayaan mereka merekodkan kemenangan besar 4-1 ke atas Myanmar, sebelum pasukan tersebut mencatat kekalahan 0-1 pula di tangan Thailand.
Kedudukan semasa Kumpulan B kini boleh dianggap cukup getir, kerana Malaysia memerlukan kemenangan untuk memastikan diri ke pusingan seterusnya, sambil mengharapkan Thailand mampu menewaskan cabaran Myanmar atau sekurangnya terikat seri.
Bagi aksi ini, suka atau tidak skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu meraih kemenangan bersama jaringan lebih tinggi kerana Myanmar kini berkelebihan daripada segi jumlah gol berbanding Malaysia.
Rombakan bakal dibuat
Tempang tanpa tiga pemain utama akibat kecederaan, sudah tentu rombakan bakal dibuat Tan pada perlawanan hari ini dalam kesebelasan utama menentang cabaran Filipina.
Kehilangan Endrick dos Santos pastinya sangat dirasai, selepas Malaysia tampil serba tidak menjadi daripada segi kreativiti di hadapan sejak aksi bertemu Thailand lalu, sehingga tiada sebarang gol mampu dihasilkan.
Dengan membawa turun Aliff Haiqal selaku pengganti Endrick pada aksi lalu, sentuhan pemain pinjaman Penang tersebut belum cukup untuk mengatasi disiplin pertahanan Thailand menerusi gerakan serta kualiti hantarannya.
Untuk itu, desakan penyokong mula dibuat dengan mereka menyeru supaya bintang dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain dipertaruhkan dalam kesebelasan utama berbanding mengekalkan Aliff Haiqal.
Desakan tersebut dianggap bakal direalisasikan, selepas Wan Kuzain sendiri dibawa turun pada sesi sidang media Harimau Malaya semalam bersama Tan untuk menyatalkan persediaan mereka bagi perlawanan hari ini.
Wan Kuzain ada kualiti
Di media sosial, ada penyokong menganggap kehadiran Wan Kuzain pada aksi hari ini sangat tepat selaku kesebelasan utama, selepas mereka melihat sendiri kualiti beliau sejak siri perlawanan lalu bersama Malaysia.
Malah, ada yang turut menganggap Wan Kuzain sebagai Bruno Fernandes untuk menggambarkan betapa berkualitinya pemain itu di posisi tengah Harimau Malaya, walaupun dibawa turun selaku gantian.
Selain Wan Kuzain, peminat juga mengharapkan supaya beberapa lagi pemain lain, seperti Daryl Sham turut berada dalam percaturan Tan bagi perlawanan ini demi menghidupkan lagi jentera tengah.
Cuma sedikit merisaukan kini pengganti Jimmy Raymond di posisi pertahanan, selepas pengganti beliau seperti Aliff Ahmad yang sebelum ini tidak konsisten dan merisaukan para peminat.
Apapun, semoga Harimau Malaya memperoleh kemenangan pada aksi hari ini dan berpeluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya dengan membanggakan para peminat dan negara.





