Siasat Erick Thohir!
"Kes seterusnya: Indonesia". Ciapan Romain Molina di X mungkin belum jelas menceritakan kes apa yang sedang disiasatnya. Tetapi ada satu perkara pasti — Erick Thohir akan menjadi watak utama siasatan.
Sebelum ini, wartawan siasatan sukan Romain Molina sudah membuka pekung FIFA dan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA). Kini, pada minggu ini, beliau memberi bayangan: Indonesia seterusnya. Perkongsiannya di X terus tular. Peminat Sang Garuda sendiri membanjiri ruangan komen, cemas menanti apa yang bakal terdedah. Ketika artikel ini ditulis, FIFA dan PSSI masih belum membuat apa-apa kenyataan berhubung pendedahan Molina.
Anda tak perlu menjadi genius untuk meneka apa yang Molina akan siasat mengenai Indonesia. Coraknya sudah tertera di hadapan mata. Ia pastinya mengenai Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
‘Kuasa’ pemain naturalisasi
Sejak Erick Thohir mengetuai PSSI pada Februari 2023, 20 pemain telah dinaturalisasikan untuk skuad kebangsaan Indonesia. Kepantasannya menimbulkan tanda tanya.
The Jakarta Post pernah mempersoalkan bahawa dasar ini “menimbulkan soalan mengenai diskriminasi” di mana pemain bola sepak boleh memperoleh pasport Indonesia dalam tempoh minggu dan bulan sahaja. Sedangkan warga asing lain perlu menetap di Indonesia selama lima tahun berturut-turut sebelum layak memohon kewarganegaraan (belum lulus lagi!). Perbezaan ini mencetuskan dakwaan bahawa sesetengah pemain naturalisasi masih menyimpan pasport lama mereka, sesuatu yang menyalahi undang-undang Indonesia. Ketua Pengarah Imigresen, Silmy Karim, bagaimanapun menafikannya.
Dan pada 6 Januari 2025, bekas ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong, dipecat secara mengejut. Ini berlaku hanya beberapa bulan selepas beliau menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2027.
Media Korea Selatan, Chosun Biz, memetik pendedahan daripada Ahli Parlimen Indonesia Andre Rosiade, yang memberitahu bahawa Tae-yong dipecat ekoran ugutan seorang pemain naturalisasi. “Sama ada dia (Tae-yong) keluar atau saya sendiri akan keluar,” kata pemain itu. Ugutan itulah, menurut Rosiade, yang mencetuskan lobi dalaman lalu membawa kepada pemecatan jurulatih tersebut. PSSI tidak pernah menafikannya secara rasmi.
Paspoortgate
Di Belanda, kontroversi isu “Paspoortgate” mendedahkan kelemahan urus tadbir dalam pengurusan status pemain diaspora Indonesia.
Ia menjadi hangat apabila kelab Eredivisie, NAC Breda, mempertikaikan kekalahan 6-0 mereka kepada Go Ahead Eagles di mahkamah. Alasan mereka: pemain Eagles, Dean James, tidak sepatutnya layak bermain kerana dia telah melepaskan status kewarganegaraan Belandanya (kerana Indonesia tidak membenarkan dwi-kerakyatan). Di bawah undang-undang buruh Belanda, status James (dan pemain-pemain naturalisasi Indonesia lain) sepatutnya adalah sebagai warga bukan EU. Ini bermakna majikan (kelab) mereka perlu membuat kontrak baharu dan memohon permit kerja sah daripada kerajaan Belanda. Jika NAC Breda menang kes, kesannya cukup besar: KNVB perlu mengulangi 133 perlawanan liga.
Mujur keputusan mahkamah memihak kepada KNVB. Walaupun KNVB mengakui James secara teknikalnya tidak boleh diturunkan, mahkamah mengetepikan kes NAC Breda dan membuat keputusan KNVB tidak perlu mengulangi 133 perlawanan liga tersebut. Kes ini mendedahkan walaupun prosedur kerakyatan pemain naturalisasi Indonesia itu sah, mereka tetap akan memegang pasport Belanda mereka secara senyap-senyap jika tidak ‘kantoi’. Ini bermakna persoalan awal yang dibangkitkan The Jakarta Post sebelum ini ada asasnya.
Kenapa Thohir terdesak di PSSI
Selepas menjual sahamnya di Inter Milan, Erick Thohir pulang ke Indonesia untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) pada Oktober 2019.
BUMN, atau Badan Usaha Milik Negara dalam Bahasa Indonesia, ibarat syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies atau GLC) di Malaysia. Seperti GLC di Malaysia, BUMN sepatutnya menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi Indonesia, mencipta peluang pekerjaan dan menjadi instrumen kepentingan strategik kerajaan.
Tetapi realitinya, BUMN menjadi lubuk korupsi, salah pengurusan, ghanimah politik — meskipun mendapat subsidi besar dari kerajaan. Golongan eksekutif elit yang bekerja di BUNM tampak hidup mewah meskipun syarikat mereka rugi.
Selepas menjadi Presiden, Prabowo Subianto menetapkan sasaran baharu kepada BUNM. Menurutnya, BUNM mesti boleh menyumbang IDR800 trilion (RM206 bilion) setahun kepada bajet negara. Kenapa? Kerana secara kolektifnya, BUMN sedang memegang lebih RM4 trillion aset negara. Jadi agak adil sebenarnya untuk Prabowo menetapkan sasaran pulangan ~5% setahun daripada BUNM. Tetapi ada satu masalah: realiti tak seindah kira-kira di atas kertas. Menurut data:
Terdapat 1,046 entiti BUNM (meliputi subsidiari dan syarikat gabungan), tetapi 97% dividen kepada kerajaan cuma datang dari 8 syarikat.
52% BUNM beroperasi dalam kerugian, di mana jumlahnya mencecah RM13 bilion setiap tahun.
Pada 2024, BUMN hanya mampu menyumbang RM22 bilion kepada kerajaan. Jadi untuk memenuhi sasaran Prabowo, BUNM perlu menaikkan sumbangan sebanyak 10x.
Kegagalan BUNM inilah yang menyebabkan Thohir menjadi sasaran kecaman netizen Indonesia.
Dari segi optik politik sendiri pun, Thohir nampak tidak meyakinkan. Abangnya, Garibaldi Thohir masih mengetuai Adaro Energy, syarikat pengeluar arang batu kedua terbesar di Indonesia. Si adik mengetuai kementerian yang memantau BUMN, si abang mengetuai salah satu BUMN terbesar di Indonesia? Maka tak hairanlah pelabur tidak yakin dengan prospek ekonomi Indonesia.
Ini bermakna rakyat Indonesia mempunyai dua sebab membenci Thohir. Pertama, atas peranannya memecat Shin Tae-yong yang akhirnya menyebabkan Indonesia gagal layak ke Piala Dunia 2026. Kedua, atas kegagalannya menjadikan BUMN enjin perangsang pertumbuhan ekonomi Indonesia. Thohir terdesak. Beliau perlukan ‘sesuatu yang besar’ untuk mengalihkan perhatian rakyat Indonesia atas kegagalannya di PSSI dan Kementerian BUMN.
Thohir perlu disiasat
Jadi adalah bukan satu kebetulan apabila sebuah laporan dari portal Mynewshub mendakwa Erick Thohir memainkan peranan penting di sebalik aduan kepada FIFA berhubung status kelayakan tujuh pemain naturalisasi Malaysia. Menurut laporan itu, aduan rasmi didaftarkan oleh Vietnam, tetapi dokumen aduan dihantar oleh proksi Thohir kepada FIFA secara tidak langsung. Thohir menafikan sebarang penglibatan Indonesia dalam sekatan FIFA terhadap FAM, menegaskan tuduhan tersebut “tidak benar.”
Apapun isi siasatan Molina terhadap Indonesia, satu perkara adalah pasti — Erick Thohir akan menjadi watak utama siasatan tersebut.





