Sepak Bola Dalam Bendang Pun Laku Aih!
POV kita dalam dunia bola sepak tak akan pernah sama dengan orang sebelah atau Paklong di kampung.
Mat Apit rasa, ni musim paling teruk la dalam diri sendiri selaku penyokong bola sepak. Mau nak buleh bukak tv tengok liga tempatan pun kadang pikiaq dua tiga kali.
“Pasaipa? Pasai pasokan hang tak main kat Liga Super kan? Kes tu Mat Apit bosan kan?”
Eh mana ada. Negeri kita tu berapa musim dah naik turun tunggang terbalik. Berasa tu ada la, tapi depa masih main kat liga separa profesional kan?
Cerita dia la ni, pasai tarikan penyokong macam Mat Apit sendiri nak terus bagi tumpuan atau menyokong liga kita dengan pi ke stadium. Rasa tak sampai.
Kalau tengok purata kehadiran pun banyak yang sendu. Kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memang kita tau sentiasa ramai dengan penyokong sebab dorongan depa sendiri memang padu.
Kelab lain? Kadang nampak ramai, kadang Mat Apit kira staf dengan pemain atas padang tu sendiri lagi banyak daripada penyokong yang dok ada keliling stadium.
Pasaipa ya jadi macam tu?
Tak tau nak kata macam mana. Sat lagi bila Mat Apit tulis ada yang kata ‘palatau’, tapi ni berdasarkan apa yang kita cangak saja la:
•Promosi tak menyakinkan
•Lebih banyak kontroversi dari hasil kerja
•Isu kewangan
•Jadual kadang tunggang langgang
•Aksi hambar
Ini yang Mat Apit tengok dan bagi pendapat saja tau. Hangpa semua kalau rasa atas sebab lain, bagi ja la sat lagi di komen mai kita tengok sama-sama.
Persoalan sebenaq, bola Malaysia ni kiok dah ka?
Ini yang syok kita nak ulas. Sebab apa? Kita kalau apa-apa selalu bandingkan dengan saingan bertaraf profesional atau separa amatur.
Kalau kita tengok daripada mata marhaen di kampung atau flat, bola ni sebenaqnya bernyawa ja lagi dan masih rancak dalam kalangan budak-budak baru dok naik la ni.
Depa mungkin mati rasa atau kurang berahi nak pi layan liga profesional la ni. Mau tanya nama pemain pun habih kuat kebanyakan kenai Arif Aiman dan Faisal Halim.
Tapi di ceruk kampung atau bangunan flat, benda ni masih hidup. Masih rancak, dan asal ada bola serta padang, semua jadi!
Bola sepak cara rakyat pinggiran
Kalau di sekitar kampung Mat Apit, benda ni sampai la masih hidup. Entah mana-mana mai pasukan buat aksi persahabatan, haram kita tak kenai pun, tapi elok mula perlawanan berderet motor tepi padang berhenti singgah usha.
Dia punya rancak bersorak (pakej mencarut) memang tak biaq. Padahal bukan ada pemain depa kenai atau mana-mana bintang atas padang pun. Main pulak tunggang langgang.
Tapi budaya bola sepak rakyat tu terasa betui masa kita tengok. Itu tak masuk bab main dalam bendang lagi. Pun rancak lain macam.
Masa musim menuai dan lepas bakaq jerami padi, selalunya petak bendang tu kering dan rata. Jadi macam tanah lapang.
Haa, bila lapang nganga apa lagi? Pi cari kayu atau buluh pacak kiri kanan sebagai palang gol, masuk padang tak pakai selipar dan hang usung la mana-mana bola pun, teruih jadi sukan bola sepak.
Tapak kaki hitam, badan berdebu, dan calaq sana sini, sikit tak goyahkan budak-budak kampung ni main bola. Kalau tengok betui-betui dah macam arena futsal woo. Banyak ‘court’.
Petak bendang tu pasukan lain main, yang sini ada geng lain dok tendang bola, merata-rata jadi, selagi tak azam Maghrib, jangan dok ‘tebiang’ (berani) nak berhenti.
POV bola rakyat dan pro tak sama
Kalau nak kata bola sepak kita makin hambar di Malaysia sebenaqnya tak boleh. Sebab kita tengok yang profesional dalam televisyen makin mendap, tak semestinya dari mata marhaen benda tu lesu jugak.
Sepak bola ni dalam bendang pun dah kira rancak untuk orang biasa. Budaya bola dalam kalangan rakyat dah sebati. Tapj nak sampai tahap profesional tu masih susah nak kita bentuk.
Akhirnya, kita dicanang dengan cerita tak enak ja dalam arus media tempatan dengan pelbagai kontroversi bola sepak dari luaq padang.
Merakyatkan bola sepak ni kepada masyarakat sebenaqnya tak payah dah, cuma nak galakkan depa bagi sokongan padu balik dalam arena profesional tu yang susah.
Dulu boleh sekarang depa macam mati kutu nak bagi sokongan lebih padu ke pasukan masing-masing. Semua ada hujah tersendiri yang akhirnya buat Mat Apit angguk-angguk saja la.






