Senegal Terima Nasib Sama Seperti Malaysia
Kejutan berlaku awal pagi tadi, apabila AFCON menarik semula kejuaraan dimiliki oleh Senegal bagi saingan 2025, dan mengesahkan Maghribi selaku juara.
Senegal yang muncul selaku juara AFCON 2025 terdahulu, sah dilucutkan kemenangan mereka dan keputusan automatik 3-0 berpihak kepada Maghribi yang menyaksikan negara tersebut terpaksa berputih mata.
#1 Kenapa Senegal dihukum AFCON?
Negara tersebut menerima hukuman, selepas mereka melanggar peraturan AFCON daripada Artikel 84 yang menyaksikan mereka layak mendapat kekalahan secara automatik.
Artikel 84 menerangkan, sesebuah pasukan berkenaan akan tewas secara automatik jika mereka:
•Tak hadir atau menolak beraksi
•Lewat hadir ke perlawanan rasmi
•Tolak untuk meneruskan baki/awal perlawanan
•Mendaftarkan pemain tidak sah
•Gagal penuhi syarat undang-undang AFCON
Dalam kes ini, Senegal menolak meneruskan baki aksi, kerana jika kita ingat pada penghujung perlawanan pemain-pemain negara tersebut meninggalkan padang kerana protes pada minit ke-84 atas rasa tidak puas hati kepada keputusan pengadil, yang dianggap berat sebelah.
#2 Siapa failkan bantahan ini?
Menurut laporan dikeluarkan, Fédération Royale Marocaine de Football (FRMF) yang membuat bantahan tersebut selepas Senegal dinobatkan selaku juara.
Dan ya, rayuan dilakukan tersebut diterima oleh AFCON dan memberi kelebihan buat Maghribi.
#3 Adakah keputusan sebelum ini berbeza?
Ya, keputusan dibuat oleh badan disiplin AFCON sebelum ini telah dibatalkan. Tetapi, keputusan baharu telah diterima semula oleh badan rayuan.
#4 Adakah Maghribi selamat daripada kesalahan?
Tak juga, salah seorang pemain mereka, Ismael Saibari turut menerima hukuman daripada AFCON atas kesalahan dibuat pada aksi final tersebut.
#5 Apakah kesalahan Ismael Saibari?
Pemain tersebut sebelum ini antara yang terlibat mengganggu fokus penjaga gol Senegal, Edouard Mendy dengan cubaan beliau untuk mengambil kain tuala tonggak negara tersebut di belakang palang gol.
Kesannya, beliau digantung dua perlawanan oleh AFCON serta turut didenda sebanyak $100, 000 atas kesalahan dilakukan.
#6 Kem Maghribi ganggu kawasan VAR
Pada aksi tersebut juga, beberapa staf dan pemain Maghribi dilaporkan mengganggu pengadil yang bertugas di kawasan semakan VAR.
Hukuman dikenakan oleh AFCON, pasukan tersebut perlu membayar sebanyak $100,000 dan rayuan untuk kes itu turut ditolak.
#7 Pancaran laser daripada penyokong Maghribi
Selain itu, FRMF turut dihukum oleh AFCON selepas ada beberapa kali pancaran laser digunakan oleh penyokong Maghribi untuk mengganggu pemain Senegal, khususnya Mendy.
Walaupun begitu, AFCON setuju untuk mengurangkan denda asal sebanyak $15,000 kepada $10,000 sahaja pada keputusan akhir dibuat.
#8 Adakah rayuan boleh dibuat Senegal?
Setakat ini masih belum diketahui lagi. Tetapi mereka mungkin boleh mengusulkan semula rayuan kepada AFCON atau cuba menggunakan khidmat CAS.
#9 Apakah persamaan Senegal dan Malaysia?
Kedua negara ini dihukum dengan kekalahan automatik oleh badan seliaan masing-masing atas kesalahan telah dilakukan sebelum ini di atas padang.
Bezanya, Senegal memberontak dan meninggalkan padang lebih awal kerana tidak berpuas hati dengan pengadil.
Malaysia pula ditolak semula dua kemenangan mereka pada aksi Kelayakan Piala Asia lalu kerana membawa turun pemain tidak sah.
#10 Impak bakal dihadapi?
Baik Senegal atau Malaysia, kedua pasukan tersebut sudah tentu terkesan daripada segi moral terutama dalam kalangan pemain yang berusaha sebelum itu untuk memberi keputusan positif kepada negara masing-masing.






