Selangor Syok Sendiri?
Kerana tamak, Selangor selalu terlepas peluang untuk mendapatkan keputusan lebih baik.
Selangor sebelum ini terlepas peluang untuk merekodkan kemenangan kali keempat berturut-turut mereka, selepas sekadar seri 0-0 ketika berdepan Melaka di pentas Liga Super.
Imbas kembali pada aksi lalu, Kim Pan-gon sebenarnya telah mempertaruhkan kesebelasan terbaik beliau terutama sekali di posisi serangan demi mendapatkan jaringan berharga.
Berdepan Melaka yang merupakan pasukan tidak konsisten musim ini, keputusan seri tersebut jelas mengecewakan ramai peminat dan diluahkan menerusi media sosial.
Pemain Selangor tamak
Jika diimbas semula aksi lalu, The Red Giants tampil dengan aksi yang cukup baik sebenarnya menerusi penguasaan permainan dan tekanan-tekanan tinggi dilancarkan ke kubu lawan.
Tetapi, beberapa kali keputusan para pemain serangan mereka di hadapan gawang gol boleh dianggap cukup mengecewakan dengan masing-masing ingin memburu rekod jaringan peribadi.
Disebabkan sikap tamak tersebut, mereka terlepas peluang untuk mendapatkan gol dan mengubah situasi kepada peluang lebih tinggi bagi mendapatkan jaringan sewaktu berdepan Melaka.
Penyokong tak puas hati
Tak dinafikan, keputusan perlawanan tersebut boleh dikatakan cukup mengecewakan buat para peminat yang mengharapkan The Red Giants mampu mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.
Tapi apa yang lebih mengecewakan, sudah tentu terarah kepada sikap pemain Selangor yang dianggap cukup tamak di hadapan gawang gol dan gagal menyudahkan peluang terhidang untuk memberi kelebihan kepada mereka.
Di media sosial, beberapa kritikan keras dilontarkan peminat mengenai sikap tamak para pemain selain ada yang menyifatkan Selangor seolah syok sendiri pada aksi itu tanpa memikirkan kelebihan kepada pasukan.
Nama Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal antara yang mendapat kritikan keras kerana kualiti permainan mereka dianggap cukup mengecewakan pada perlawanan tersebut untuk siri serangan Selangor.
Rombakan semula buat Kim Pan-gon
Bagi aksi seterusnya, mungkin Kim perlu merombak semula senarai kesebelasan utama, dengan beberapa tonggak direhatkan seketika sebagai suatu teguran.
Sikap cepat selesa dalam pasukan kadangkala boleh dianggap cukup berbahaya kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada permainan, sekali gus keputusan perlawanan turut terjejas.
Beberapa import dan pemain tempatan lain yang kurang digunakan sebelum ini mungkin perlu dinilai semula juga jika mereka mampu menjadi aset atau sebagai penambah beban pasukan bagi perlawanan seterusnya.
Menuju ke penghujung liga, Selangor sendiri tidak boleh keciciran sebarang mata lagi kerana Kuala Lumpur City (KL City) dan Kuching City masing-masing mengintai peluang untuk mengatasi The Red Giants.
Kim sendiri juga sudah tentu menyedari isu ini dan suka untuk kita lihat adakah beliau akan merombak kembali senarai pemain, atau mengubah corak permainan yang lebih bersesuaian.






