Selangor Perlu Menang Supaya Ultrasel Dilupakan Sementara
Nama baik bola sepak Selangor tercemar kini, selepas ia dirosakkan oleh kumpulan penyokong mereka sendiri yang dikenali sebagai ultraSel.
Sebelum itu, kumpulan penyokong tersebut dilaporkan telah mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu dengan pembakaran suar secara terbuka dilakukan beramai-ramai.
Lebih parah, beberapa penyokong ultraSel itu juga dilaporkan positif dengan pengambilan dadah terlarang menurut beberapa laporan berita di media sosial.
Nama baik Selangor rosak
Ketika ini, banyak cemuhan dilemparkan kepada kumpulan penyokong dari Selangor dengan beberapa gelaran cukup berbisa untuk disebut seperti The Red Gian, ultraStim, Ultras Mat Pet, dan lain-lain.
Kecaman-kecaman dilontarkan itu atas rasa tidak puas hati akan sikap dilakukan oleh kumpulan penyokong berkenaan sehingga ia mencemarkan nama kelab.
Disebabkan itu, skuad kendalian Kim Pan-gon perlu mencatat kemenangan pada aksi ACC Shopee Cup yang akan berlangsung hari ini di MBPJ, demi memulihkan semula nama Selangor.
BG Pathum bukan cabaran mudah
Berdepan BG Pathum hari ini, Selangor mempunyai peluang cukup cerah untuk mara ke pusingan seterusnya jika mereka berjaya meraih kemenangan di halaman sendiri.
Walaupun begitu, cabaran tersebut bukan mudah kerana BG Pathum masih segar dengan kemenangan 2-0 mengatasi Dynamic Herb Cebu (Filipina) dengan aksi menyakinkan.
Malah, mereka turut dibarisi dengan beberapa pemain handalan seperti Sarach Yooyen, Ikhsan Fandi, Chanathip Songkrasin dan ramai lagi untuk dipertaruhkan Masatada Ishii.
Peluang Selangor tetap terbuka
Berada di tangga pertama Kumpulan A, Selangor hanya dibezakan satu mata sahaja berbanding BG Pathum yang menyaksikan ianya cukup sengit.
Walaupun begitu, Selangor juga kini diperkuatkan dengan beberapa muka baharu serta momentum tanpa tewas bawah kendalian Kim Pan-gon.
Berkelebihan di laman sendiri, Faisal Halim dan rakan-rakan sepasukan lain mempunyai tugas penting demi memastikan The Red Giants mampu mara ke pusingan seterusnya.
Paling penting, Selangor perlu mengelak daripada kekalahan atau sebarang perkara tidak diingini demi memadam aib yang dilakukan oleh ultraSel sebelum ini.










