Selamat Tinggal Liga Malaysia!
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, maka ucapan selamat tinggal lebih awal bakal diucapkan mereka buat Liga M musim ini.
Semalam, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah pun mengeluarkan keputusan yang tidak berpihak kepada bola sepak Malaysia mengenai status tujuh pemain ‘warisan’ negara.
Jika diikutkan sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun menyatakan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen pemain seperti telah dilaporkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, keputusan tersebut gagal berpihak kepada FAM, walaupun ada beberapa usaha dibuat untuk memastikan status tujuh pemain berkenaan sah milik Malaysia.
Menerusi kenyataan dikeluarkan CAS, mereka hanya mengurangkan hukuman kepada FAM dengan para pemain berkenaan masih dibenarkan beraksi dalam aktiviti tidak rasmi walaupun tempoh penggantungan 12 bulan masih berlangsung.
4 pemain dalam saingan Liga M ucap selamat tinggal lebih awal
Hasil keputusan tersebut juga menyaksikan empat daripada tujuh pemain tersebut kini sah terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 25/26.
Empat pemain tersebut merupakan Jon Irazabal (JDT), Hector Hevel (JDT), Joao Figueiredo (JDT), serta Gabriel Palmero (Kuching City) yang sebelum itu aktif di pentas Liga M musim ini.
Ini kerana status penggantungan mereka dilaporkan berkuatkuasa sejak semalam dan itu menyebabkan para pemain berkenaan tidak lagi boleh terlibat dalam aksi rasmi.
JDT hilang 3 tonggak penting
JDT antara yang terkesan kerana mereka kehilangan tiga tonggak penting musim ini iaitu Jon Irazabal, Hector Hevel, serta Joao Figuereido.
Umum mengetahui Joao antara tunjang utama kekuatan Harimau Selatan menerusi keupayaan dan ketajamannya di hadapan gawang gol selaku tonggak serangan berpengalaman.
Apatah lagi JDT masih lagi aktif beraksi pada musim ini di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) dalam pusingan 16 terbaik dan Figuereido antara tunjang kekuatan utama mereka di posisi serangan.
Untuk posisi Irazabal dan Hevel mungkin tidak begitu menyukarkan Xisco Munoz kerana masih ada beberapa pengganti bersesuaian untuk memenuhi senarai kesebelasan utama JDT.
Palmero hanya sempat seketika buat Kuching City
Nasib malang turut menimpa Kuching City, selepas bintang pertahanan baharu mereka, Gabriel Palmero turut tidak dibenarkan lagi beraksi pada aksi rasmi seterusnya.
Palmero diperkenalkan kelab tersebut pada 8 Februari lalu dan beliau sempat mencipta tiga penampilan buat pasukan tersebut di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.
Malah pertahanan muda itu juga sempat mencipta satu gol ketika Kuching City menewaskan DPMM ketika aksi Piala Malaysia pada 14 Februari lalu.
Selain empat pemain tersebut, Facundo Garces yang kembali menemui rentak positif bersama Alaves di pentas La Liga juga terpaksa melupakan hasrat untuk terus bermain secara kompetitif sehingga tempoh penggantungan tamat.






