Penang antara pasukan yang memulakan saingan musim 2026/2027 dengan langkah kiri, apabila mereka mencatat kekalahan pada aksi pembukaan menerusi keputusan 0-1 di tangan DPMM Brunei lalu.
Pada aksi lalu, skuad kendalian Wan Rohaimi tampil dengan kritikan bertali arus dalam kalangan peminat yang tidak berpuas hati dengan kekalahan berkenaan.
Entah mengapa, Penang gagal menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri dengan segala yang dilakukan pasukan berkenaan tampak serba tidak menjadi.
Ini menyaksikan sekelompok besar penyokong pasukan tersebut mula meluahkan rasa tidak puas hati dan seolah tidak dapat menerima akan kekalahan berkenaan.
Bagi aksi seterusnya, Penang bakal berkunjung ke Likas untuk mengharungi aksi kedua serta perlawanan pertama merwka di gelanggang lawan untuk menghadapi cabaran daripada Sabah pula.
Penyokong tak yakin
Di media sosial, rata-rata komen menyatakan peminat Penang langsung tidak yakin keputusan positif mampu ditawarkan oleh Harimau Kumbang ketika berdepan tuan rumah.
Apatah lagi Sabah juga masih segar dengan kemenangan 3-1 ketika mereka menewaskan cabaran Star City beberapa hari lalu dengan kualiti permainan cukup memberansangkan.
Ada komen menyatakan Penang mungkin hanya pergi ke Sabah untuk ‘makan angin’ sahaja dan tiada sebarang keputusan positif mampu ditawarkan pasukan berkenaan pada aksi tersebut.
Selain itu, beberapa perubahan juga dituntut peminat seperti kualiti taktikal positif yang lebih bagus ditawarkan oleh Wan Rohaimi untuk menghadapi cabaran Sabah hari ini.
Malah, beberapa pemain Penang yang dianggap kurang bagus pada aksi lalu juga dituntut lebih matang daripada segi permainan atau rombakan kembali dibuat dalam senarai kesebelasan utama.
Penang jangan ulangi silap musim-musim lalu
Imbas kembali musim lalu, Penang antara pasukan yang tampil dengan aksi cukup mengecewakan pada persaingan Liga Super 2025/2026 tanpa sebarang rekod menyakinkan.
Musim lalu menyaksikan pasukan tersebut menamatkan cabaran di kedudukan ke-8 sahaja dengan memperoleh 6 kemenangan daripada 24 perlawanan diharungi.
Masalah kualiti import yang tidak memberansangkan pada musim lalu seolah kembali berulang kini walaupun persaingan baru berlangsung dengan satu perlawanan sahaja untuk edisi 26/27.
Malah, kebanyakan penyokong tampak masih tidak berpuas hati serta kecewa dengan pendekatan Wan Rohaimi buat pasukan berkenaan selaku pengendali utama, apabila masih tiada sebarang perubahan positif mampu ditawarkan.
Apapun, Penang perlu bangkit untuk sekurangnya meraih satu mata atau mempamerkan peningkatan dalam permainan supaya penyokong tidak terus dihimpit dengan rasa kecewa.





