Keghairahan kebanyakan peminat untuk melihat prestasi Manchester United kembali pada tahap sebenar, telah pun berjaya direalisasikan kini, setelah mereka melihat aksi pasukan berkenaan ketika menentang Como 1907 semalam.
Apa yang dimaksudkan dengan prestasi sebenar itu, bukannya terarah kepada momentum positif, sebaliknya pasukan berkenaan kembali pada realiti selaku kelab belasahan seperti musim-musim lalu.
Rutin asal mereka yang kerap mencipta kekalahan atau gagal mengutip mata penuh secara konsisten, kini dapat kita perhatikan semula bawah kendalian Michael Carrick.
Di media sosial, ramai pemerhati bola sepak atau penyokong Man United sendiri yang pasrah, berseloroh tentang prestasi Man United yang sentiasa teruk sejak bermusim-musim lalu akhirnya kembali berulang kini.
Dengan hanya dua kemenangan mampu diraih Man United pada musim ini dalam semua kejohanan disertai, ini menjadikan pasukan tersebut bermula dengan cukup buruk pada awal saingan 26/27.
Jadi ‘lauk’ Como 1907
Ini antara perkara yang menjadi perbualan hangat peminat di media sosial, kerana Man United bukannya diaibkan pasukan besar seperti PSG atau Bayern Munich di saingan UEFA Champions League (UCL) semalam, tetapi cuma Como 1907.
Ya, tidak dinafikan reputasi wakil kelab dari Itali itu sejak kebelakangan ini cukup menyakinkan, dan tak ramai meletakkan jangkaan tinggi kepada Man United untuk meraih keputusan positif.
Tetapi tidak sangka pula, skuad kendalian Michael Carrick boleh merekodkan kekalahan dengan jumlah bolos sangat besar serta tampil dengan kualiti permainan di luar jangkaan ramai. Apatah lagi, Man United pun hadir dengan serba tempang, daripada segi kualiti pemain sebenarnya mereka mendahului kelab tuan rumah.
Tetapi inilah yang berlaku, apabila lawan jauh mendahului penguasaan permainan serta mencipta jumlah percubaan tepat lebih banyak berbanding wakil kelab dari England itu sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.
Jika diikutkan, Como hanya menurunkan beberapa sahaja pemain bintang seperti Nico Paz, Maximo Perrone, dan Martin Baturina sahaja dengan selebihnya tidak ramai nama-nama besar berbanding Man United yang mempertaruhkan tonggak handalan seperti Bruno Fernandes, Bryan Mbeumo, Matheus Cunha, dan ramai lagi.
Rekod buruk kini berterusan
Selepas mengharungi 11 perlawanan musim ini dalam semua kejohanan termasuk UCL, Man United hanya merekodkan dua kemenangan sahaja dan lima kekalahan selain empat kali seri. Statistik yang cukup buruk untuk sesebuah kelab elit seperti Th Red Devils.
Malah, lima perlawanan terakhir diharungi Man United menyaksikan mereka gagal merekodkan sebarang kemenangan selain hanya seri dan kekalahan yang cukup menyesakkan para penyokong sendiri serta menjadi bahan ketawa peminat kelab-kelab lawan.
Pemain seperti Bruno Fernandes sendiri yang cemerlang pada musim lalu dilihat gagal untuk konsisten dan jelas mengalami penurunan daripada segi prestasi, sehingga tiada sebarang impak dapat ditawarkan kepada posisi serangan Man United.
Tiada jawapan dapat dijelaskan tentang masalah yang melanda Man United kini, tetapi itulah yang sering menghantui mereka sejak bermusim-musim lalu walaupun ada perubahan dibuat dalam kalangan pemain atau barisan kejurulatihan kelab.
Pada akhirnya kebanyakan penyokong sendiri redha dan mengakui itulah wajah sebenar Man United sejak beberapa musim lalu, kitaran yang bermula dengan positif dan berakhir dengan kegagalan sudah dijangka ramai. Tiada jawapan untuk kegagalan kelab. Mungkin pembersihan secara penuh?





