Selagi Kante Senyum, Perancis Tak Perlu Risau
Kembalinya Kante bersama Perancis kali ini, jelas membawa nafas baharu semula buat pasukan kebangsaan tersebut.
Nama N’golo Kante kembali menjadi fenomena dalam dunia bola sepak, apabila aksi bertenaganya baru-baru ini bersama Perancis cukup mengujakan.
Sebelum ini, Perancis sudah pun mengharungi dua aksi antarabangsa menentang Brazil dan Colombia, dengan keduanya berakhir menerusi kemenangan cukup membanggakan.
Bermula dengan kemenangan 2-1 ke atas Brazil, Didier Deschamps nampaknya selesa dengan membuat rombakan besar pada aksi berdepan Colombia untuk terus meraih kejayaan 3-1.
Di media sosial, pelbagai pujian mula diberikan oleh peminat buat Perancis, terutama sekali dalam kalangan pemain seperti Kylian Mbappe, Desire Doue, termasuk kelibat Kante.
Secara tiba-tiba nama pemain ini kembali meledak, ekoran aksi positif ditampilkan beliau ketika berdepan Brazil serta Colombia di posisi tengah bertahan.
Kualiti Kante dipuji
Selepas gagal beraksi di Piala Dunia 2022 akibat kecederaan, ramai mengharapkan Kante mampu beraksi semula buat Perancis dan mempamerkan kualiti terbaik seperti dipamerkan sebelum ini.
Namun kini, pelbagai pujian mula diberikan oleh peminat, khususnya pada aksi Perancis menentang Colombia baru-baru ini, apabila Kante turut diberi tanggungjawab selaku kapten skuad kebangsaan berkenaan.
Pada aksi tersebut, Kante seolah tidak terjejas daripada segi prestasi semasa, dengan beliau begitu mudah mematahkan setiap ancaman lawan serta berada di serata arah padang.
Malah, Deschamps sendiri menganggap Kante selaku satu kepingan puzzle yang penting untuk melengkapkan percaturan taktikal beliau di atas padang.
Dalam kalangan peminat, Kante kekal antara nama yang sentiasa disenangi mana-mana peminat ekoran kualiti permainan dan sikap dirinya merendah diri di luar padang.
Selain itu, Kante juga tidak menunjukkan taraf senioriti beliau dalam pasukan serta kekal hornat kepada pemain-pemain lebih muda seperti Kylian Mbappe atau Desire Doue.
Nilai tinggi Kante di Piala Dunia 2026
Aksi Piala Dunia akan datang tentunya menjadi satu medan terbaik untuk pemain tersebut terus membuktikan dirinya masih relevan serta berkualiti di pentas antarabangsa.
Perancis yang menjadi salah satu pasukan pilihan pada musim ini jelas berada pada tahap cukup menyakinkan daripada segi kualiti pemain dan momentum permainan mereka.
Ditambah dengan kelibat Kante sendiri yang berada pada terbaik, sudah tentu ia sedikit sebanyak mengundang keresahan dalam kalangan peminat.





