Sekadar Marah-Marah Sayang
Semua penyokong marah, tetapi marah disebabkan rasa sayang yang sudah sebati dalam diri.
Jika kita lihat media sosial kini, kebanyakan penyokong bola sepak di Malaysia jelas meluahkan rasa tidak puas hati atau amarah mereka mengenai situasi semasa yang melanda buat negara ini.
Apa tidaknya, terdahulu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah pun mengeluarkan keputusan yang tidak berpihak kepada bola sepak Malaysia mengenai status tujuh pemain ‘warisan’ negara.
Ditambah sebelum ini pula, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun menyatakan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen pemain seperti telah dilaporkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, kebenaran sebenar telah pun tersingkap dengan pengesahan tujuh pemain tersebut tidak memiliki langsung sebarang pertalian darah untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Penyokong kecewa
Jika kita singkap media sosial seperti Facebook atau X, ramai yang kecewa kerana merasa tertipu dengan apa dilakukan oleh FAM dan kerajaan Malaysia yang seolah tidak mempunyai intergriti menguruskan perkara sedemikian.
Lebih mengecewakan, masih belum ada sebarang permohonan maaf daripada badan tersebut untuk mengakui kesilapan dilakukan mereka yang menyaksikan pelbagai kemungkinan buruk bakal menghukum bola sepak negara selepas ini.
Kemungkinan untuk kita beraksi di Piala Asia 2027 juga semakin terhakis kini, dan AFC sendiri pun masih belum mengeluarkan bentuk hukuman khusus kepada Malaysia.
Itu yang menjadikan para penyokong sangat kecewa dengan apa yang berlaku, kerana maruah, nama baik, dan masa depan bola sepak Malaysia bakal kelam dalam hanya sekelip mata disebabkan perbuatan berkenaan.
Marah-marah sayang
Apapun, kemarahan ini masih lagi belum bersifat benci kepada bola sepak Malaysia, kerana ia boleh dianggap marah-marah sayang sahaja dalam kalangan peminat.
Baik atau buruk bola sepak Malaysia sejak dulu, penyokong masih kekal bersama dan menunjukkan kesetiaan tinggi di stadium demi sokongan tidak berbelah bahagi mereka buat Harimau Malaya.
Kemarahan yang meletus ini lebih disebabkan oleh kekecewaan yang sangat tinggi mereka dengan situasi bola sepak Malaysia yang dianggap telah memalukan di pentas dunia.
FAM perlu pantas
Sudah tentu perkara serupa tidak ingin lagi berlaku pada masa hadapan dengan gesaan peminat supaya FAM mampu mengembalikan semula keyakinan kepada mereka.
Apa solusi yang bakal dilakukan oleh FAM kini untuk memulihkan keadaan? Adakah sebarang jaminan mampu diberikan agar perkara serupa tidak lagi berlaku?
Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang sesi sidang media rasmi dilakukan mereka dan kemarahan serta persoalan peminat terus bermain di media sosial.
Apapun yang berlaku harus diingatkan, penyokong marah-marah sayang kepada bola sepak Malaysia kini. Pulihkan kembali keyakinan ada keutamaan FAM buat mereka.






