Sebab Tan Cheng Hoe Wajar Dijulang Pakar Bola Sepak Malaysia!
Walau diberi kritikan dan tekanan, Tan buktikan dirinya masih antara pengendali paling berkaliber Malaysia.
Bermula dengan jangkaan rendah dan kritikan ramai peminat di media sosial, sehingga dianggap aib negara, siapa sangka Harimau Malaya kini begitu gah di pentas Piala Asean 2026.
Dua perlawanan bersama dua kemenangan berturut-turut, menjadikan kini semakin ramai melaungkan keyakinan semula kepada skuad kebangsaan negara.
Terbaharu, Malaysia meraih kemenangan besar 4-0 mengatasi Laos bagi peringkat Kumpulan B ketika aksi berlangsung di laman sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Membawa momentum positif kemenangan 2-1 pada aksi lalu ketika berdepan Myanmar, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mempamerkan kualiti permainan jauh lebih baik di segenap posisi.
Hasilnya, kita kini melihat Malaysia gah di puncak Kumpulan B dengan dua kemenangan yang membawa tiga mata maksimum untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.
Tumpuan utama kini pastinya terarah kepada Tan yang membawa sentuhan cukup cemerlang buat Malaysia kini, dan ada sebab mengapa beliau wajar mendapat penghargaan penuh.
Hadir tanpa ramai nama besar
Selaku pengendali utama, Tan mendapat cabaran besar sejak awal lagi apabila beliau hanya berjaya menghimpunkan beberapa muka utama sahaja untuk saingan Piala Asean.
Tanpa tonggak penting seperti Faisal Halim, Nooa Laine, atau Arif Aiman, Tan meneruskan gerak kerja beliau bersama pemain baharu seperti Alif Ahmad, G. Pavithran, dan Hadi Fayyadh untuk Harimau Malaya.
Hasilnya boleh kita katakan cukup positif, terutama sekali kepada bintang muda negara meningkat naik kini, G. Pavithran yang cemerlang pada penampilan sulungnya buat Harimau Malaya di laman sendiri.
Malah pemain seperti Wan Kuzain yang buat pertama kali mewakili Malaysia di halaman sendiri juga berjaya meledak gol sulungnya dengan cukup membanggakan.
Kenal pemain bawah kendaliannya
Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad, dan V. Ruventhiran antara yang mendapat beberapa kritikan daripada peminat terdahulu ekoran prestasi semasa mereka buat kelab kurang menyakinkan.
Tetapi sebaliknya berlaku, apabila mereka berjaya menampilkan aksi sangat menyakinkan sejak dua perlawanan lalu, terutamanya Sumareh yang begitu konsisten di posisi serangan.
Selain itu, Paulo Josue sendiri yang dilabel ‘kuda tua’ tampil berbisa bawah kendalian Tan dengan beliau kini sudah merekodkan tiga gol peribadi dalam hanya dua aksi diharungi.
Secara keseluruhan, setiap pemain dipanggil kali ini berjaya menampilkan potensi yang memuaskan di segenap posisi dan tidak hadir sebagai satu beban kepada pasukan kebangsaan.
Pengurusan taktikal yang bijak
Tak ramai pengendali bijak seperti Tan Cheng Hoe yang pantas menilai keupayaan pemain untuk disesuaikan dalam pengurusan taktikalnya di atas padang.
Keberanian Tan untuk meletakkan G. Pavithran di kesebelasan utama serangan negara antara yang cukup menarik untuk diperkatakan, selain disiplin permainan pasukan negara juga terus meningkat.
Daripada segi kualiti permainan, mungkin ianya tidak begitu menghiburkan, tetapi Tan antara yang bijak mengatur serangan dan pertahanan negara menjadi lebih kukuh terutama untuk mendapatkan gol dan mengelak daripada dibolosi.
Secara keseluruhan, prestasi Tan dalam dua perlawanan awal ini sangat menarik untuk diperkatakan, dan tidak keterlaluan untuk kita mengatakan beliau mampu melakar kejutan tidak disangka pada saingan Piala Asean 2026 ini.
Foto: Kamal Aziz eksklusif untuk Semuanya BOLA






