Sayangnya, Tak Ramai Sedar Impak Pemain ini!
Ramai beri pujian kepada G.Pavithran atau Wan Kuzain, sampai terlupa jasa besar pemain ini di pentas Piala Asean 2026.
Saingan Piala Asean 2026 sudah pun memasuki fasa separuh akhir, dengan Malaysia antara salah satu daripada empat negara yang berjaya mara ke pusingan tersebut.
Jika diikutkan, tak ramai pun yang memberi jangkaan tinggi kepada perjalanan skuad Harimau Malaya kali ini di pentas Piala Asean 2026, selepas menilai daripada segi:
Nama jurulatih
Senarai pemain dipanggil
Persiapan semasa dibuat
Segalanya tampak biasa, dan keyakinan para penyokong juga tampak berbelah bahagi untuk sokongan mereka kepada Harimau Malaya dalam kejohanan berkenaan.
Tetapi siapa sangka, Malaysia akhirnya berjaya melangkah ke saingan separuh akhir setelah menamatkan cabaran di peringkat Kumpulan B dengan menghuni tangga kedua bersama sembilan mata diperoleh.
Tiga kemenangan dan hanya satu kekalahan sahaja direkodkan pasukan kebangsaan kita termasuk kejayaan Malaysia ketika menewaskan Filipina untuk melayakkan diri terus ke pentas separuh akhir.
Pujian buat jurulatih dan pemain
Benar, memang ada banyak kelemahan semasa harus diperbaiki baik daripada segi percaturan taktikal atau kualiti individu pemain sepanjang mengharungi empat perlawanan lalu, namun kita tidak boleh menafikan pujian terhadap perjuangan skuad kebangsaan.
Pemain seperti G. Pavithran antara yang sangat menyerlah pada kejohanan ini, selain keupayaan Wan Kuzain daripada segi kualiti individu dalam menghidupkan serangan pasukan kebangsaan.
Tetapi, jika diikutkan ada seorang lagi pemain kebangsaan yang sebenarnya cukup konsisten di atas padang sejak awal saingan berlangsung dan keberadaannya sangat penting untuk Malaysia.
Semangat tinggi Sergio Aguero
Ya, beliau boleh dikatakan antara pemain Harimau Malaya yang sangat konsisten dan cukup penting buat pasukan menerusi gerak kerjanya sejak aksi pertama diharungi Malaysia sehingga membantu negara mara dengan lebih jauh.
Beraksi di posisi tengah, Aguero dilihat tidak begitu cenderung dalam membantu serangan, atau menjadi nilai tambah buat pasukan untuk mendapatkan gol.
Sebaliknya, beliau banyak membantu Malaysia supaya tidak putus daripada segi penguasaan bola, dan sentiasa menawarkan diri untuk menerima hantaran daripada rakan sepasukan.
Malah, Aguero juga cukup efektif untuk menghentukan gerakan lawan dengan lebih awal, dan menggunakan kekuatan fizikal dimiliki dengan sangat baik dalam situasi perebutan bola di tanah atau udara.
Statistik Aguero vs Filipina unggul
Anda boleh lihat pada ‘heat map’ yang diletakkan pada bahagian bawah ini, untuk melihat bagaimana Aguero sentiasa bergerak di seluruh kawasan dalam usaha untuk memastikan penguasaan bola tidak terputus, serta menghentikan ancaman awal lawan.
Berikut pula, merupakan statistik Aguero ketika berdepan Filipina:
1 hantaran kunci
67/77 hantaran tepat
11/12 hantaran jauh tepat
1 sumbangan kepada pertahanan
1 ‘interception’
7 kali penguasaan semula bola
Secara keseluruhan, Aguero mendapat rating sebanyak 7.7/10 daripada Sofascore, dan itu merupakan jumlah cukup tinggi untuk pemain tengah berkenaan bagi tiga perlawanan berturut-turut kecuali ketika aksi pertama berdepan Myanmar.
Secara keseluruhan, Aguero memainkan peranan beliau dengan cukup efektif buat Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Asean setakat ini, dan kami tampil memberi pujian penuh atas sumbangannya kepada Malaysia di pentas antarabangsa.
Foto: Shah Amirul untuk Semuanya BOLA






