Sasaran ‘10 Terbaik’ Dianggap Realistik Buat Penang
Lain macam sasaran diletakkan buat kelab tersebut musim akan datang!
Saingan Liga Super musim 26/27 bakal membuka tirai tidak lama lagi dengan pelbagai persiapan dibuat oleh kelab-kelab yang rasmi bakal bertanding.
Lumrah bagi setiap kelab yang bersaing, pastinya mereka bersaing untuk mendapatkan pemain-pemain baharu berkualiti bagi dipertaruhkan di atas padang.
Setidaknya, para pemain ditandatangani mempunyai pengalaman dan lebih baik berbanding skuad yang dimiliki pada saingan terdahulu.
Jika ingin berjimat sekalipun, pengurusan atau kejurulatihan sudah tentu mengkaji yang terbaik apa patut mereka lakukan untuk pastikan kelab kekal relevan bersaing pada saingan akan datang.
Tetapi situasi semasa Penang dianggap sangat unik menerusi pemain-pemain baharu yang telah diperkenalkan untuk saingan akan datang dan mendapat perhatian daripada peminat sendiri.
Bermula dengan isu ‘pemain buangan’
Sebelum ini, sesetengah penyokong sudah mula melontarkan rasa kurang senang kepada Penang yang mengikat beberapa pemain dianggap ‘buangan’ daripada kelab lama.
Pemain seperti Aliff Haiqal Lau dan Haqimi Azim jika diikutkan pada saingan lalu bukannya pilihan utama pasukan masing-masing sebelum mereka menyerta Penang.
Kegusaran mula disuarakan jika prestasi pemain-pemain ini mampu menaikkan imej Penang yang tidak konsisten pada saingan lalu menjadi lebih baik pada siri kejohanan akan datang.
Siapa pemain ini?
Tetapi sebaliknya berlaku, apabila Penang terus memperkenalkan beberapa lagi pemain baharu yang kurang dikenali dan hadir dengan rekod samar-samar dalam karier.
Pemain baharu Penang seperti Fahmi Daniel, Suhaimi Abu, Danie Asyraf, dan Juzaerul Jasmi antara yang menjadi pertikaian penyokong dek kerana reputasi dan kurang dikenali.
Malah, ada yang menganggap Penang sekadar ‘tangkap muat’ dalam menandatangani pemain baharu untuk melengkapkan skuad bagi musim 26/27.
Tetapi, ada yang kekal optimis dengan menyatakan Harimau Kumbang bakal menjadi destinasi terbaik pemain-pemain ini dalam menaikkan semula karier mereka.
Ini bukan suatu yang baharu, kerana Penang mempunyai rekod cukup baik dalam menaikkan reputasi pemain tempatan seperti telah dilakukan kepada Quentin Cheng dan Azinee Taib terdahulu.
Sasaran realistik dalam gurauan
Melihat kepada senarai pemain ditandatangani, usikan penyokong Penang mengenai sasaran kelab tersebut juga antara yang sangat menarik untuk diperkatakan.
Dengan kualiti pemain yang dimiliki, sasaran kedudukan 10 terbaik dianggap mereka cukup realistik dan mungkin akan menjadi lebih teruk berbanding prestasi musim lalu.
Apatah lagi jika melihat kepada kerancakan kelab-kelab lain yang berjaya menandatangani pemain lebih berkualiti dan tampil bersama visi lebih jelas.
Apapun, persaingan masih belum bermula dan kita sendiri tidak boleh menilainsepenuhnya lagi mengenai nasib setiap pasukan yang bertanding musim akan datang, termasuk Penang.
Mungkin juga pihak kejurulatihan mempunyai strategi yang ampuh menerusi pemain-pemain ditandatangani ini untuk ditampilkan kepada para penyokong. Siapa tahu?







