Saingan Musim 26/27 Lebih Kompetitif!
Ada perubahan yang kita lihat untuk saingan hadapan
Saingan Liga Super musim 2026/2027 bakal membuka tirai tidak lama sahaja lagi dengan kini setiap pasukan tampak rancak dengan persiapan masing-masing untuk memberi cabaran bersifat lebih sengit.
Jika dilihat pada persiapan semasa, masing-masing kini kian giat menandatangani pemain-pemain baharu, serta memperkenalkan para penaja menerusi media sosial rasmi.
Tak kurang, ada pasukan yang sudah mengadakan beberapa aksi pramusim dalam dan luar negara dalam usaha untuk menilai kekuatan semasa dan memperkukuhkan lagi persefahaman antara satu sama lain.
Tetapi, ada juga beberapa kelab yang dilihat masih lagi sepi daripada segi persiapan, sehingga mengundang persoalan dalam kalangan peminat tatkala, saingan bakal bermula hanya beberapa minggu lagi.
Menerusi perkongsian dan pemerhatian kami mengenai persiapan para pasukan untuk musim baharu nanti, dijangka saingan Liga Super 26/27 akan bertambah sengit jika dibandingkan tahun-tahun lalu
Pasukan pilihan merebut kejuaraan Liga Super?
Kami menyenaraikan lima pasukan yang dijangka bakal bersaing sengit untuk merebut kedudukan utama di pentas Liga Super, dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pasti akan menjadi pilihan utama.
Dengan status selaku juara bertahan, mereka tidak terus berasa selesa, sebaliknya pelbagai persiapan rapi dibuat dengan aksi pramusim di luar negara, beberapa bintang import baharu ditandatangani, serta faktor Xisco Munoz yang kekal bersama pasukan berkenaan.
Kuching City antara kelab yang boleh memberi tentangan sengit musim buat JDT musim ini, jika kita lihat pada prestasi mereka musim lalu, serta beberapa penambahan muka baharu di segenap posisi, termasuk kehadiran bintang Penang terdahulu, Dylan Wenzel-Halls.
Selain itu, Selangor juga dilihat membuat beberapa perubahan penting, selain mengekalkan Kim Pan-gon (jurulatih utama), serta penyerang import berbisa musim lalu, Chrigor Moraes, selain prestasi mereka di pentas pramusim cukup menyakinkan.
Tampil sendu musim lalu, inilah masa terbaik buat Terengganu bangkit semula sebagai salah satu kelab gergasi Malaysia, menerusi kepulangan semula Nafuzi Zain, dan kelab tersebut juga berjaya mengekalkan bintang Piala Dunia 2026, Gervanne Kastaneer.
Salah satu kelab yang dilihat sangat menonjol kini menerusi beberapa pemain baharu ditandatangani, Star City FC. Pasukan ini juga berjaya mengikat salah seorang jurulatih yang berjaya di Malaysia terdahulu, Mehmet Durakovic untuk cuba mencipta kejutan ke atas pasukan elit lain.
Ada juga kelab masih sendu
Sehingga artikel ini ditulis, hanya Melaka FC dan Kelantan Red Warriors (KRW) masih perlahan daripada segi persiapan, dan dilihat mungkin bergelut untuk mengharungi saingan akan datang.
KRW paling sukar kini, kerana mereka tidak dapat membuat persiapan lebih baik untuk menandatangani pemain baharu kerana masih menjalani hukuman daripada FIFA yang menyekat mereka pada jendela pintu perpindahan.
Sementara Melaka FC pula menimbulkan keresahan buat para peminat, apabila mereka masih belum membuat pengumuman rasmi pemain baharu untuk musim akan datang. Sebaliknya, mereka kini dalam persiapan mengharungi saingan pramusim dengan beberapa pasukan luar negara.
Pasukan pengacau perlu diberi perhatian
Sepanjang saingan berlangsung nanti, kami menjangkakan beberapa pasukan mampu mengganggu momentum kelab-kelab atasan daripada segi kutipan mata menerusi pemerhatian dilakukan.
Penang antara pasukan yang dijangka bakal memberikan masalah kepada kelab lain, jika kita lihat pada senarai pemain ditandatangani serta prestasi semasa pada aksi pramusim.
Begitu juga dengan Sabah, Negeri Sembilan, DPMM Brunei, dan Kuala Lumpur City yang tidak boleh dipandang ringan kerana status pemain dan kejurulatihan dimiliki mereka mampu mengundang masalah buat kelab-kelab pilihan lain.
Apapun, ini cuma pandangan awal kami dan jangkaan juga, saingan Liga Super 26/27 akan tampil lebih sengit jika bandingkan pada musim-musim lalu, jika segalanya berjalan lancar.







