Rosenior Perlu Contohi Kepimpinan Arteta
Arteta ada ciri-ciri terbaik yang patut Rosenior contohi kini.
Chelsea kini terus menampilkan aksi yang cukup goyah, dengan terbaharu mereka mencatat kekalahan 0-3 di tangan Brighton, bagi aksi English Premier League (EPL) 25/26.
Kekalahan tersebut jelas menaikkan amarah peminat, kerana kualiti permainan skuad kendalian Liam Rosenior seolah terlalu menurun walaupun dibarisi ramai pemain bintang di segenap posisi.
Selain itu, ianya juga merupakan kekalahan kali kelima berturut-turut buat The Blues, setelah mereka sebelum ini tewas di tangan Newcastle United, Everton, Manchester United, Manchester City, serta terbaharu kepada Brighton.
Graf penurunan prestasi ini jelas menggusarkan peminat, kerana Chelsea mungkin tidak sempat menamatkan persaingan di kedudukan lebih selesa serta merebut tempat ke pentas UEFA Champions League musim 26/27.
Di media sosial, sudah tentu nama Rosenior menjadi pertikaian utama peminat selepas kualiti permainan Chelsea begitu berbeza jika dibandingkan dengan apa ditampilkan era Enzo Maresca.
Rosenior gagal kawal pasukan elit
Dengan pengalaman Rosenior yang masih dianggap mentah dalam dunia pengurus, ramai peminat menganggap beliau sebenarnya masih belum layal sehingga kini untuk mengendalikan pasukan seperti Chelsea.
Umum mengetahui Chelsea merupakan salah satu kelab elit dunia yang sentiasa mendapat perhatian ramai peminat di seluruh dunia bersama tekanan tinggi turut diberikan kepada pasukan berkenaan.
Rosenior yang sebelum ini menguruskan kelab sederhana seperti Derby County dan Strasbourg secara tiba-tiba mengendalikan Chelsea, sudah tentu mempunyai cabaran besar untuk menyesuaikan diri.
Belajar dengan Arteta
Antara cadangan diutarakan peminat juga, mereka mahu Rosenior belajar daripada pengurus Arsenal, Mikel Arteta cara untuk mengendalikan kelab elit pada usia muda.
Terdahulu, Rosenior diikat Chelsea selaku pengurus kelab selama enam tahun dan ini bermakna beliau mempunyai masa panjang untuk membina kembali pasukan berkenaan.
Situasi serupa dilalui Arteta terdahulu yang mengikat kontrak bersama Arsenal sejak 2019 dan kini bukti pembangunan kelab tersebut kian membuahkan hasil daripada segi keputusan dan penghasilan pemain berkualiti.
Apa yang diharapkan peminat, Rosenior mampu mengubah kembali prestasi semasa Chelsea menjadi lebih baik dan mempunyai pelan pembangunan jangka masa panjang seperti dilakukan Arteta bersama Arsenal.
Bangkit atau cipta sejarah paling buruk
Seperti diketahui, Chelsea mempunyai ramai bakat-bakat muda yang berkualiti untuk diketengahkan seperti bintang meningkat naik dari Brazil, Estevao.
Jika Rosenior gagal secara keseluruhan musim ini, beliau perlu bangkit dengan persiapan lebih baik untuk memperkenalkan identiti permainan diinginkan beliau buat Chelsea serta memastikan kelab berkenaan kembali di landasan tepat.
Atau, dirinya akan kekal menjadi bahan kritikan ramai dan dianggap sebagai antara pengurus paling gagal pernah diikat Chelsea dalam sejarah pasukan tersebut.





