Ronaldo Miliki Segalanya Untuk Dakap Piala Dunia 2026
Peluang terakhir yang tak boleh disia-siakan Ronaldo untuk mendakap trofi tersebut pada tahun ini.
Bercakap tentang Cristiano Ronaldo, beliau telah pun memiliki segala-segalanya dalam karier bola sepak profesional, baik daripada segi pencapaian individu, kelab atau negara.
Cuma satu sahaja trofi yang masih lagi beliau belum berjaya dapatkan sehingga kini, Piala Dunia. Ya setelah bertahun-tahun, ramai ingin melihat Ronaldo untuk mendakap kejuaraan tersebut walau sekali sekurangnya.
Imbas kembali saingan Piala Dunia 2022 lalu, Portugal gagal untuk mara ke pentas akhir walaupun dianggap sebagai antara negara pilihan meraih kejuaraan berkenaan.
Ketika itu, pasukan tersebut hany mampu menamatkan cabaran di pusingan suku akhir selepas dikejutkan oleh Maghribi menerusi keputusan 1-0.
Igauan ngeri terus menghantui penyerang berkenaan yang dilihat akan kempunan buat selama-lamanya jika beliau gagal untuk memilikinya pada tahun ini.
Peluang cerah buat Ronaldo
Jika kita imbas kembali pada senarai pemain dipanggil Roberto Martinez kali ini, rata-ratanya hadir dengan momentum cukup positif bersama kelab masing-masing daripada segi pencapaian individu atau buat pasukan.
Paling ketara, tentunya terarah kepada tonggak tengah serangan mereka, Bruno Fernandes yang cemerlang musim ini selaku pemain paling banyak mencipta ‘assist’ dalam sejarah English Premier League.
Kehadiran Bruno yang bijak mencipta peluang menerusi hantaran-hantarannya sudah tentu akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu Ronaldo mendapatkan jaringan.
Gandingan bersama Joao Felix
Daripada sudut lain, peningkatan prestasi Joao Felix antara yang cukup memberansangkan buat Portugal dan gandingan beliau bersama Ronaldo musim ini di Al Nassr bakal menjadi pertaruhan utama.
Musim ini menyaksikan Felix telah merekodkan 45 sumbangan gol secara keseluruhan dan berjaya membentuk kombinasi serangan yang baik bersama Ronaldo di saingan Saudi Pro League.
Kelibat penyerang lain seperti Goncalo Ramos, Francisco Conceicao, Pedro Neto dan beberapa nama lagi dijangka memberi impak yang bagus melalui prestasi semasa mereka.
Skuad Portugal lengkap bantu Ronaldo
Skuad kali ini boleh dikatakan lebih stabil dan serba lengkap daripada posisi penjaga gol, tengah dan serangan untuk cuba merealisasikan impian Piala Dunia.
Momentum semasa juga menyaksikan pasukan kendalian Roberto Martinez sebenarnya masih segar dengan kejuaraan Nations League pada tahun lalu selain positif pada aksi-aksi antarabangsa lain.
Portugal juga konsisten tidak tewas dalam tiga aksi antarabangsa terakhir diharungi mereka selain dipacu oleh pemain berkualiti tinggi seperti Vitinha, Nuno Mendes, dan Bernardo Silva.
Cuma, konsistensi ketika ini diperlukan jika mereka benar-benar ingin membantu Ronaldo meraih kejuaraan Piala Dunia sebelum beliau bersara dalam karier profesional.






