Ronaldo Bukan Lagi Bertaraf Bintang Dunia
Kena sedar hakikat, tak semua pemain pada penghujung karier masih lagi berbisa dan mampu catat hatrik di pentas tertinggi dunia.
Aksi pertama Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia 2026 bersama Portugal tidak bermula dengan baik dan seperti yang diharapkan ramai peminat dari seluruh dunia.
Pasukan tersebut sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika mereka berdepan DR Congo yang tampil lebih menyerlah untuk mengikat Portugal pada aksi pertama Kumpulan K.
Hadir dengan barisan pemain terkuat, Portugal sebenarnya lebih dominan daripada segi penguasaan bola jika dibandingkan dengan DR Congo yang kerap mencipta serangan balas pantas.
Entah mengapa, segalanya serba tidak menjadi dengan beberapa pemain seperti Ronaldo, Bruno Fernandes, dan Bernardo Silva berada pada bawah tahap sebenar.
Jaringan Yoanne Wissa jelas menyentap semangat Portugal dan menyuntik motivasi terbaik buat DR Congo untuk mempertahankan keputusan tersebut sehingga ke wisel penamat.
Ronaldo tiada fungsi
Hadir dengan liputan tinggi daripada pemerhati bola sepak dan peminat, ramai menjangkakan penyerang senior ini mampu memberikan impak lebih baik ketika bertemu pasukan seperti DR Congo.
Namun sebaliknya berlaku apabila kelibat beliau di atas padang hampir tidak dirasai dan Ronaldo sendiri gagal menjadi ancaman berbahaya buat barisan pertahanan skuad kendalian Sebastian Desabre.
Menurut statistik, Ronaldo sebenarnya hanya mampu melepaskan tiga percubaan sahaja dan tiada satu pun daripadanya tepat ke sasaran untuk meningkatkan peluang gol.
Secara keseluruhan, Ronaldo juga gagal membantu rakan sepasukan lain untuk menghidupkan jentera serangan atau turun lebih bawah demi mendapatkan bola.
Ada beberapa peluang, beliau sepatutnya mampu menterjemahkan ianya ke arah percubaan tepat sekurangnya. Tetapi sayang, semuanya tersasar.
Kritikan penyokong.
Di media sosial pelbagai rungutan sudah diluahkan penyokong kepada Portugal, terutama sekali buat Ronaldo dengan ada turut mengharapkan penyerang Al-Nassr itu perlu meningkatkan lagi tahap permainan.
Pada masa sama, ada turut menyifatkan Ronaldo perlu sedar diri yang beliau kini bukan lagi bintang bola sepak handalan bertaraf dunia seperti dahulu.
Rombakan perlu dibuat kembali dan cadangan ramai meminta supaya Ronaldo diletakkan terlebih dahulu di bangku simpanan demi mengubah struktur serangan Portugal menjadi lebih baik.
Pandangan kami pula, era Ronaldo untuk pasukan kebangsaan sebenarnya sudah lama tamat dan mungkin beliau hanya perlu memberi fokus kepada kelab sahaja demi pengakhiran lebih baik.
Tak dinafikan dirinya antara pemain paling berjaya dunia menerusi statistik peribadi dan kejayaan diperoleh suatu ketika. Namun kini, era Ronaldo telah pun tamat untuk Portugal.
Apapun, segalanya terserah kepada beliau sendiri untuk memperbaiki kelemahan semasa atau Ronaldo bakal ucapkan selamat tinggal buat Piala Dunia tanpa pencapaian membanggakan.





