Real Madrid Punca Endrick Hampir ‘Lingkup’
Jika beliau kekal di Real Madrid sehingga kini, mungkin namanya akan terus tenggelam dan konsisten di bangku simpanan.
Nama bintang muda Brazil, Endrick kembali menjadi sebutan ramai, ekoran karier beliau kini berada pada tahap cukup menyakinkan bersama Lyon di Perancis.
Dipinjamkan daripada Real Madrid, tak ramai meletakkan harapan yang bintang muda berbakat ini akan menyerlah dalam tempoh masa yang sekejap, sebelum beliau berjaya buktikannya.
Gerakan yang lincah, pengaruh di posisi serangan, dan statistik gol yang meningkat menjadikan Endrick kini kekal antara sebutan ramai peminat yang bergembira dengan prestasinya.
Zaman gelap bersama Real Madrid
Sepanjang bersama Real, Endrick pernah dilabel bakal menjadi salah satu pemain bintang yang akan bersinar untuk projek jangka masa panjang kelab tersebut.
Tetapi di sana, pemain berusia 19 tahun itu mengalami kesukaran untuk cepat menyesuaikan diri dalam permainan dan dibayangi oleh tonggak-tonggak senior lain.
Sesetengah peminat juga mendakwa karier Endrick tamat dengan lebih awal berbanding usia beliau yang masih muda bersama pasukan tersebut.
Sepanjang bersama Real Madrid, Endrick telah merekodkan lapan sumbangan gol sahaja daripada 40 penampilan keseluruhan bersama kelab berkenaan.
Endrick kembali menyerlah
Atas inisiatif untuk memperbaiki kembali karier beliau, Endrick dipinjamkan oleh Real kepada kelab yang berpangkalan di Perancis, Lyon pada saigan musim ini.
Tidak mengambil masa yang panjang, Endrick membuktikan karier beliau mampu untuk bangkiy kembali daripada segi motivasi dan statistik gol dengan aksi ditampilkan cukup menyakinkan.
Beliau hanya memerlukan 10 perlawanan sahaja untuk merekodkan lima gol dan empat bantuan jaringan bersama pasukan itu, termasuk satu ledakan hatrik ketika berdepan FC Metz di saingan Ligue 1.
Ramai penyokong di media sosial terkejut dengan kebangkitan yang dilakar oleh Endrick, terutama sekali menerusi keyakinan beliau untuk mengawal bola dan cepat membuat keputusan di hadapan gawang gol.
Tak kurang yang menganggap Real punca Endrick merosot, tatkala permulaan karier beliau pada asalnya cukup bagus sewaktu mewakili Palmeiras suatu ketika di Brazil.
Endrick masa depan Brazil
Dengan lambakan pemain bintang di posisi serangan Real kini, ramai mencadangkan supaya Endrick dapat dipinjamkan dengan lebih lama saingan hadapan bersama Lyon.
Ini juga bakal mencerahkan lagi peluang untuk Endrick terus mendapat tempat bersama Brazil di pentas antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus menjadi pelapis terbaik pasukan berkenaan.
Dengan Endrick kini yang semakin positif bersama Lyon, tidak mustahil juga untuk pasukan tersebut bertindak untuk cuba mengekalkan beliau pada masa hadapan demi memperkukuhkan posisi serangan kelab berkenaan.






