Rayuan Penyokong Man United Buat Casemiro
Menerusi prestasi semasa ditampilkan, para penyokong hadir membuat rayuan kepada pemain berkenaan.
Prestasi semasa tonggak tengah Manchester United, Casemiro pada musim ini boleh dikatakan cukup hebat dan seolah-olah beliau langsung tidak dibayangi usia kian meningkat.
Contoh terbaharu, pemain Brazil itu sekali lagi mencatat nama selaku penjaring gol buat Man United, ketika pasukan tersebut unggul menewaskan Brentford menerusi kemenangan 2-1 di Old Trafford.
Beraksi dalam kesebelasan utama, Casemiro membentuk gandingan yang cukup baik bersama Kobbie Mainoo di bahagian tengah untuk meneutralkan sebaran ancaman dicipta lawan.
Cukup 11 minit permainan berlangsung sahaja diperlukan Casemiro untuk membuka akaun jaringan ke-9 beliau musim ini, selepas beliau menyempurnakan umpanan daripada Harry Maguire.
Statistik Casemiro unggul
Selaku pemain tengah bertahan, rekod jaringan atau bantuan gol bukan keutamaan buat beliau kerana tugas Casemiro lebih kepada sisi pertahanan dan menjadi ‘backup’ buat rakan sepasukan lain.
Apatah lagi kini Casemiro sudah pun berusia 34 tahun dan Man United sendiri dipenuhi dengan beberapa pemain serangan dan lebih kreatif seperti Bruno Fernandes, Matheus Cunha, dan Bryan Mbeumo.
Namun, tonggak utama Brazil itu membuktikan mengapa beliau masih mampu menjadi pertaruhan utama kelab untuk mendapatkan gol penting dalam setiap aksi diharungi.
Musim ini, Casemiro sudah menyumbang 11 gol secara keseluruhan buat pasukan tersebut selepas mengharungi 33 perlawanan di pentas domestik.
Secara keseluruhan, beliau sudah merekodkan 40 sumbangan gol daripada 158 penampilan, dan itu merupakan catatan kedua terbanyak selepas Casemiro melakukannya sebelum ini bersama Real Madrid (60 G/A).
Rayuan penyokong
Menerusi media sosial pula, kebanyakan peminat merayu supaya Casemiro terus kekal bersama Man United, selepas kontrak beliau bakal berakhir tidak lama sahaja lagi.
Rayuan itu dilihat relevan selepas kita melihat bagaimana semangat dan rasa sayang Casemiro sendiri buat Man United walaupun sudah mengharungi jatuh bangun bersama pasukan berkenaan.
Dengan Man United bakal mengharungi aksi UEFA Champions League (UCL) kembali musim hadapan, jelas peminat menagih pengalaman dan kualiti beliau untuk berdepan dengan kelab-kelab elit lain.
Kritikan kepada sanjungan
Siapa sangka, suatu ketika cemuhan dan kritikan dilemparkan oleh beberapa pemerhati bola sepak serta peminat yang meragui akan keupayaan Casemiro.
Enggan cepat melatah, pemain ini konsisten memberikan fokus kepada kelab sehingga kembali kepada prestasi yang cukup menakjubkan selaku jeneral utama kelab berkenaan di atas padang.
Jika tidak kekal, sudah tentu kelibat pemain ini akan dirindui penyokong dan sukar untuk menafikan beliau selaku salah seorang tonggak terbaik pernah ditandatangani Man United.







