Rating Bintang JDT Ini Jauh Mengatasi 'Wonderkid' Chelsea
Kenapa perlu dongak kepala nak lihat bintang, sedangkan dia berada di padang bersama JDT?
Aksi persahabatan membabitkan kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara dunia, Chelsea telah pun berakhir sebentar tadi, dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pada aksi tersebut, JDT tampil dengan memperkenalkan beberapa pemain baharu mereka untuk dipertaruhkan menentang skuad kendalian Xabi Alonso yang terdahulu masih segar dengan kemenangan 3-0 mengatasi AC Milan.
Daripada segi permainan, kedua pasukan tampak terbuka mencipta siri serangan dan beberapa percubaan menarik, sehingga ada babak pergaduhan sesama pemain turut berlaku.
Walaupun daripada segi statistik oleh Sofascore ianya lebih berpihak kepada Chelsea menerusi penguasaan bola, JDT tetap hadir dengan ancaman berbahaya melalui tekanan-tekanan tinggi dilakukan.
Lebih menarik, beberapa pemain Harimau Selatan sendiri dianggap cukup menyerlah pada perlawanan tersebut dan mendapat tumpuan daripada para peminat yang menyaksikan aksi berkenaan.
Arif Aiman memukau
Salah seorang pemain tumpuan tersebut, tentunya terarah kepada Arif Aiman yang boleh kita katakan sangat memukau di posisi serangan JDT menerusi gerakan-gerakan lincahnya.
Lebih menarik, Arif yang bangkit daripada kecederaan musim lalu dilihat langsung tidak terjejas daripada segi permainan dan beberapa kali berjaya memperdayakan pertahanan kelab Eropah tersebut.
Beliau juga menjadi pemain pertama yang menggegarkan gawang gol Chelsea menerusi ledakan yang sangat berkualiti pada minit ke-14 untuk menggamamkan seketika kem pelawat.
Statistik yang unggul
Daripada segi statistik dikeluarkan oleh Sofascore, Arif antara pemain yang sangat aktif dalam siri serangan pantas dilancarkan oleh JDT dan menjadi ancaman besar kepada Chelsea.
Berikut merupakan statistik yang dikeluarkan oleh Sofascore termasuk ‘heatmap’ pergerakan pemain tersebut sepanjang berdepan The Blues:
1 gol
2 hantaran kunci
20/25 hantaran tepat
11/16 hantaran di kawasan lawan
2/3 percubaan tepat
1 peluang besar dilepaskan
47 sentuhan
5 kali penguasaan kembali
Arif juga menjadi pemain kedua yang menerima rating tertinggi oleh Sofascore selepas beliau diberi penilaian sebanyak 7.6. Hanya satu sahaja kurang berbanding peledak berbisa Chelsea, Liam Delap.
Malah rating beliau juga jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan bintang Chelsea termasuk wonderkid mereka, Estevao yang hanya diberi penilaian sebanyak 6.6 sahaja walau turut beraksi penuh.
JDT dijangka jauh lebih dominan berbanding musim terdahulu
Melihat kepada corak permainan dan barisan pemain dimiliki, nampaknya mereka bakal tampil jauh lebih berpengaruh berbanding saingan-saingan musim lalu, terutama sekali untuk cuba mencabar saingan AFC Champions League Elite (ACLE).
Malah, Arif sendiri tampak lebih matang dan semakin menyakinkan daripada segi kualiti individu untuk terus menjadi aset utama Harimau Selatan pada saingan hadapan, baik di pentas domestik atau Asia.
Berdepan Chelsea sebentar tadi, merupakan salah satu gambaran terbaik buat lawan untuk melihat sendiri bagaimana disiplin, kreativiti, serta ketajaman Harimau Selatan yang boleh kita katakan berada dalam kelas tersendiri untuk terus bergelar gergasi bola sepak Malaysia.







