PSJ Juga Yang Akhirnya Bagi Solusi
Baginda tak datang dengan tangan kosong, baginda hadir dengan solusi untuk semua.
Dua minggu sebelum mesyuarat semalam, Dr Johan Kamal Hamidon — Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC — memberi isyarat menarik kepada media. Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan bahawa Dr. Johan ada cadangan untuk mengatasi isu kewangan kelab-kelab Liga Malaysia. Tetapi cadangan itu, katanya, perlu dibincangkan menerusi perbincangan meja bulat melibatkan semua pemegang taruh. “Jika pengorbanan perlu berlaku melibatkan semua pasukan, Selangor sedia beri kerjasama.”
Pada 29 April 2026, peluang itu tiba. MFL mengadakan Perbincangan Bersama Rakan Kongsi Liga Malaysia 2025-2026 di ibu negara. Dua belas wakil kelab hadir. Ini adalah platform untuk Johan mengajukan idea untuk menyelamatkan bola sepak Malaysia.
Namun apabila Johan diberi peluang untuk bersuara, tiada satu pun cadangan penyelesaian kewangan yang keluar dari mulutnya.
Yang lebih mengejutkan, mesyuarat itu turut dihadiri oleh seorang tetamu yang tidak dirancang. DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, hadir tanpa pengumuman. JDT pada asalnya diwakili oleh Pengarah Kelab mereka, Dato’ Seri Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin. Kehadiran baginda tidak ada dalam agenda. Tetapi baginda tetap datang — dan baginda datang bukan dengan tangan kosong.
Baginda datang dengan penyelesaian.
Aduan vs solusi
Wakil-wakil kelab yang lain datang dengan aduan. Sabah FC membangkitkan isu pemilikan stadium. Terengganu FC mempersoalkan kualiti pengadil. Kelantan TRW membawa isu keputusan lembaga pengarah yang membebankan kewangan kelab. Pelbagai kelab mempersoalkan levi 10%, kos penerbangan, dan jadual pertandingan.
Semuanya sah. Semuanya relevan. Tetapi semuanya adalah aduan, bukan jawapan. Dan yang lebih ketara: ia adalah aduan yang sama sejak 2018.
DYAM Tunku Mahkota Ismail menyatakannya dengan terus terang: “Bola sepak Malaysia tidak berada di tahap yang baik.” Empat masalah teras yang baginda kenal pasti: tiada pembangunan belia yang kompetitif, tiada badan pengadil yang bebas dan profesional, kekurangan penaja, dan kelab-kelab yang menyalahkan FAM dan MFL selepas membelanjakan RM15 ketika poket hanya ada RM12.
Baginda turut mempersoalkan sesuatu yang mudah tetapi kesannya berat: kenapa tiada satu pun kelab yang menerima tawaran KBS untuk bantuan penyelenggaraan padang, apabila kosnya tidak melebihi RM250,000 setahun? Wang sudah ditawarkan oleh kerajaan sendiri. Tiada siapa yang mengangkat tangan. Sementara itu, Myanmar, Kemboja, Thailand dan Indonesia sudah jauh ke hadapan dalam menaik taraf kemudahan bola sepak mereka.
Cara bina ekosistem bola sepak mampan dan produktif
DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak berhenti setakat kritikan. Baginda datang ke bilik itu dengan sebuah kertas cadangan lima muka surat: sebuah model kewangan lengkap yang direka untuk mengubah cara bola sepak Malaysia membiayai ekosistem mampannya sendiri.
Konsepnya boleh diringkaskan dalam satu frasa: mengembalikan bola sepak kepada rakyat.
MFL membina platform digital sendiri. Penyokong melanggan terus untuk menonton perlawanan Liga Malaysia. Tanpa orang tengah, tanpa birokrasi yang menelan nilai sebelum ia sampai ke destinasi sepatutnya. Dengan 1 juta pelanggan pada kadar RM15 sebulan, platform itu berpotensi menjana sehingga RM180 juta setahun. Selepas potongan kos operasi, anggaran RM120 juta diagihkan terus kepada kelab-kelab. Dengan jaminan asas RM5 juta untuk setiap kelab, sebelum ditambah bonus prestasi sehingga RM10 juta tambahan.
Satu-satunya wakil kelab yang menyentuh tentang pembangunan akar umbi — selain DYAM Tunku Mahkota Ismail sendiri — adalah CEO Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus Muhammad Rom. Beliau mencadangkan sebuah Majlis Dasar Bersepadu yang melibatkan MFL, FAM, AFL dan KPM diwujudkan. Tujuannya? Supaya ekosistem bola sepak Malaysia produktif menghasilkan pemain-pemain tempatan yang berkualiti secara konsisten.
Isu pengadil pula adalah isu yang paling universal dalam pertemuan semalam. Terengganu FC mempersoalkan keputusan-keputusan spesifik dan sudut kamera VAR. Penang FC menyeru struktur pengadil yang lebih bebas. DPMM FC meluahkan harapan agar piawaian pengadil ditingkatkan. Kelantan TRW menyebut bahawa mereka mengemukakan aduan rasmi walaupun ketika mereka menang.
Sejak 2018 DYAM Tunku Mahkota Ismail sudah menyuarakan keperluan untuk sebuah badan pengadil yang bebas dan profesional. Cadangan yang sama turut baginda kemukakan terus kepada Menteri KBS. Tetapi selama hampir sedekad, cadangan itu tidak bergerak ke mana-mana. Disebabkan itu, baginda menawarkan satu solusi jangka masa pendek yang mudah untuk dilaksanakan: pengadil asing untuk perlawanan-perlawanan besar (suku akhir, separuh akhir, dan final).
Masih tunggu atau buat terus?
Pada tahun 1858, London terpaksa menunggu 14,000 nyawa meragut sebelum cadangan Joseph Bazalgette untuk membina sistem pembentungan akhirnya mendapat lampu hijau. Selama berdekad-dekad, semua orang tahu Sungai Thames berbau busuk. Tetapi duduk diam adalah pilihan yang lebih “selamat.”
Bola sepak Malaysia belum sampai ke tahap The Great Stink. Tetapi baunya sudah mula ketara.
DYAM Tunku Mahkota Ismail sudah meletakkan cadangannya di atas meja. Lengkap. Konkrit. Boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
Baginda mengingatkan semua yang hadir tentang satu hakikat yang mudah dilupakan dalam kesibukan mengadu dan meminta: “Awak ada satu pasukan yang mewakili Malaysia dalam peringkat yang tertinggi. Tak pernah terjadi before.” JDT di suku akhir AFC Champions League Elite bukan sekadar pencapaian sebuah kelab. Ia adalah bukti bahawa bola sepak Malaysia boleh bersaing di peringkat tertinggi Asia — jika ia dibina dengan betul, diurus dengan disiplin, dan dipimpin dengan visi yang tidak berganjak.
Pencapaian itu berlaku walaupun sistem tidak berfungsi dengan baik. Bayangkan apa yang boleh dicapai jika sistemnya betul-betul diperbaiki.
Soalannya kini bukan tentang penyelesaian, kerana penyelesaian sudah ada. Soalannya adalah sama ada pemegang taruh bola sepak Malaysia akan menunggu ‘The Great Stink’ versi kita sendiri sebelum bertindak.





