Portugal Paling Tak Berguna Di Piala Dunia 2026
Datang dengan reputasi yang tinggi, tapi apa ditampilkan mereka cukup-cukup mengecewakan!
Portugal akhirnya menamatkan kempen Piala Dunia 2026 mereka dengan lebih awal, apabila mereka sekadar tersingkir di pusingan 16 terbaik, menerusi kekalahan 0-1 di tangan Sepanyol.
Sebenarnya, boleh dikatakan ramai mula berbelah bahagi dengan nasib Portugal, sejak pasukan itu beraksi dalam pusingan peringkat kumpulan lagi, apabila konsistensi menjadi masalah utama mereka.
Masalah sama terus berulang ketika aksi pagi tadi bertemu Sepanyol, apabila mereka gagal memberikan ancaman lebih baik untuk mendapatkan gol.
Malah, sedikit kesilapan sahaja pada akhirnya memberi satu peluang berharga buat anak-anak buah Luis De La Fuente untuk mendapatkan jaringan tunggal menerusi ledakan Mikel Merino yang dibawa masuk selaku pemain gantian.
Satu jaringan itu cukup untuk menutup terus perjalanan Portugal di pentas Piala Dunia, serta menyaksikan hasrat Cristiano Ronaldo untuk sekurangnya ke final telah pun terkubur.
Roberto Martinez punca
Di media sosial, ramai meletakkan kesalahan utama kepada Martinez yang merupakan pengurus utama Portugal atas kegagalan negara itu di saingan berkenaan.
Kebanyakan mereka menyamakan kegagalan Martinez kali ini sama dilakukan beliau suatu ketika sewaktu pengendali tersebut menguruskan generasi emas Belgium.
Belgium yang ketika itu mempunyai ramai pemain bintang di segenap posisi gagal meraih kejuaraan Piala Dunia pada tahun 2018 walaupun mereka berada pada landasan tepat.
Kali ini, situasi sama turut berulang kepada Portugal yang rata-rata pemain diisi oleh bintang berkelas dunia dan berada pada momentum terbaik sebelum mengharungi kejohanan Piala Dunia 2026.
Taktikal Martinez membosankan
Harus diakui, Martinez mungkin mempunyai reputasi besar selaku pengurus ketika bersama Belgium sebelum ini, tetapi ianya juga didorong oleh faktor pemain negara itu sendiri cukup berkualiti.
Daripada segi corak permainan, ramai merungut tentang kualiti yang ditampilkan oleh beliau tidak setara dengan para pemain bintang dimiliki dan seolah-olah skuad dikendalikan beliau itu cuma sebuah pasukan pertengahan sahaja.
Itu juga yang sedang kita lihat kini pada Portugal. Mereka mempunyai pemain bintang seperti Bruno Fernandes, Vitinha, Pedro Neto, dan Joao Neves selain Ronaldo. Tetapi hasil permainan di atas padang? Cukup mengecewakan.
Kritikan keras buat Portugal
Martinez pada akhirnya melepaskan jawatan beliau seusai kekalahan mereka pada pagi tadi ketika berdepan cabaran Sepanyol atas rasa tanggungjawab.
Namun, segalanya sudah terlambat dan Portugal terpaksa menerima hakikat yang perjuangan mereka kali ini sudah pun berakhir dengan lebih awal di pentas kejohanan tersebut.
Ronaldo pastinya antara yang sangat kecewa kerana itu juga merupakan penampilan terakhir beliau di pentas Piala Dunia, dan ramai sebenarnya mengharapkan Portugal mampu mencapai sesuatu yang manis pada edisi kali ini.
Pada akhirnya, Portugal dilabel sebagai kelab paling ‘useless’ atau tidak berguna pada kejohanan Piala Dunia 2026, kerana melepaskan peluang terbaik tatkala mereka dibarisi para pemain handalan dunia di segenap posisi.





