Piala Malaysia: Selangor Kini Selangkah Ke Suku Akhir
Selangor kini kita boleh anggap sudah pun selangkah untuk ke pentas suku akhir Piala Malaysia 2025/2026.
Jika kita imbas kembali aksi pusingan 16 terbaik pertama lalu, skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW).
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV lalu, Kelantan TRW terlebih dahulu memperoleh jaringan pertama mereka menerusi ledakan Simen Lyngbo untuk mengejutkan pelawat.
Penghargaan buat Faisal Halim selaku wira Selangor pada aksi tersebut, apabila beliau berjaya mencetuskan kebangkitan buat The Red Giants sehingga mereka mampu menamatkan aksi bersama kemenangan penting 2-1.
Dua jaringan peribadi Faisal Halim seolah menjadi suatu amaran kepada anak-anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk tampil lebih berhati-hati dengan kelibat pemain berkenaan.
Secara keseluruhan, Faisal pada aksi lalu berjaya memberikan impak cukup besar dalam permainan dengan kebanyakan siri serangan The Red Giants bermula daripada gerakan beliau.
Walaupun Kelantan TRW pada asasnya dilihat berjaya mengurangkan banyak ancaman cuba dibuat Selangor, namun mereka tetap menghadapi kesukaran menerusi gerakan bintang Harimau Malaya berkenaan.
Dengan kekalahan 1-2 pada aksi lalu kepada Selangor, cabaran buat pasukan dari Pantai Timur tersebut terus bertambah, kerana mereka bakal bermain di gelanggang pasukan lawan.
Jika diikutkan, prestasi Kelantan TRW pada aksi lalu sangat menyakinkan, namun beberapa kelemahan ketara mereka menjadikan Selangor bijak memanipulasi keadaan.
Tambahan jurang perbezaan kualiti kedalaman skuad di barisan utama dan simpanan antara Kelantan TRW dan Selangor sendiri cukup ketara jika kita perhatikan dengan jelas.
Ini memberi kelebihan buat Selangor kerana Kim Pan-gon mempunyai pilihan pemain lebih baik untuk dipertaruhkan pada separuh masa pertama dan kedua mengikut situasi.
Manakala Akmal pula tidak mempunyai banyak βopsyenβ terbaik buat beliau untuk memberi kepelbagaian daripada segi percaturan taktikal di atas padang.
Suka atau tidak, Akmal perlu memaksimakan pemain terbaik pilihan beliau pada hari ini jika mereka ingin melakar kejutan di MBPJ untuk mendapatkan slot ke suku akhir.
Buat Selangor pula, mereka tidak boleh membuat kesilapan mudah dan membuka ruang buat pelawat hari ini seperti yang berlaku pada aksi lalu, sehingga ianya memberi kesukaran buat mereka mendapatkan peluang gol.
Pada jangkaan kami, aksi sengit seperti perlawanan lalu bakal berlaku sekali lagi, dengan Kelantan TRW bebas daripada sebarang tekanan kerana mereka bukan pasukan pilihan seperti Selangor untuk membuktikan sesuatu.
Selangor pula, mereka kini selangkah sahaja lagi untuk ke suku akhir. Tetapi segalanya bakal berkecai jika mereka bermain dengan sambalewa dan beraksi bawah tekanan selaku pasukan pilihan.
Pandangan anda?





