Piala FA: Ujian Berat Buat Man United Di Old Trafford
Manchester United tampaknya bakal menghadapi cabaran berat pada aksi Piala FA pusingan ketiga hari ini, dengan lawan mereka, Brighton di Old Trafford.
Ketika ini, pasukan tersebut masih belum mempunyai pengurus utama selepas mereka melepaskan Ruben Amorim beberapa hari lalu dan Darren Fletcher hadir menggalas tanggungjawab berkenaan sementara.
Entah kenapa, prestasi Man United sejak kebelakangan ini sendiri tampak kurang menyakinkan di persaingan liga, selepas kegagalan mereka untuk meraih kemenangan dalam tiga aksi terakhir diharungi.
Berdepan Brighton pagi ini, jelas The Red Devils tidak boleh mencatat sebarang keputusan negatif, atau mereka terpaksa menelan keputusan perit untuk tersingkir lebih awal.
Rekod tiga aksi lalu menyaksikan Man United sekadar mencatat keputusan seri ketika berdepan Wolves, Leeds United, serta Burnley di pentas EPL.
Rekod tersebut sedikit sebanyak menggusarkan para peminat The Red Devils, kerana lawan yang mereka hadapi sebelum ini bukan dianggap cukup kuat dan Man United tak sepatutnya mencatat keputusan seri sahaja.
Keputusan seri 2-2 baru-baru ini ketika berdepan Burnley menyaksikan Man United masih memiliki isu daripada segi disiplin pertahanan mereka yang longgar dan mudah diatasi lawan.
Tetapi, sekurangnya barisan serangan mereka semakin menyakinkan dengan tumpuan penuh diberikan kepada Benjamin Sesko, apabila sentuhan berbisanya meraih pujian ramai peminat.
Terarah kepada Brighton, pasukan ini hadir dengan reputasi yang menyakinkan untuk memberi cabaran getir buat Man United walau beraksi di gelanggang lawan.
Sama seperti Man United, pasukan ini juga masih belum mencatat kekalahan dalam tiga aksi saingan liga lalu, tetapi mereka sedikit baik apabila meraih satu kemenangan ketika berdepan Burnley.
Lebih menyakinkan,Brighton juga masih segar dengan keputusan seri 1-1 mereka, ketika kelab tersebut mengikat Manchester City di Etihad menerusi jaringan penyamaan, Kaoru Mitoma.
Skuad kendalian Fabian Hurzeler memiliki corak permainan yang cukup baik menerusi disiplin berpasukan ketika bertahan atau sangat agresif dalam situasi menyerang.
Daripada segi keadaan pemain pula, Man United mungkin boleh menarik nafas lega setelah kembalinya Bruno Fernandes kini bersama Mason Mount serta kelibat Harry Maguire.
Walaupun begitu, mereka masih lagi terpaksa melupakan khidmat Bryan Mbeumo serta Amad Diallo kerana kedua pemain berkenaan masih bersama skuad kebangsaan masing-masing di kejohanan AFCON.
Brighton pula mungkin tidak dapat menggunakan lagi khidmat Yankuba Minten yang masih mengalami kecederaan, selain Carlos Baleba masih terikat dengan kejohanan AFCON bersama Cameroon.
Apapun, Man United tak boleh mengambil mudah cabaran Brighton, kerana dijangka aksi sengit bakal diberikan lawan walaupun beraksi di Old Trafford.
Pandangan anda?




