Pertaruhan Penting Michael Carrick Untuk Hadapi Cabaran Man City
Pengendali baharu Manchester United, Michael Carrick dilihat sebagai tumpuan utama untuk aksi membabitkan kelab tersebut menentang Manchester City.
Beraksi di Old Trafford, The Red Devils jelas tidak boleh melepaskan sebarang peluang untuk meraih mata penting hari ini walaupun menyedari reputasi dimiliki pasukan lawan.
Apatah lagi Man United masih lagi segar dengan kekalahan terbaharu mereka di tangan Brighton pada aksi Piala FA baru-baru ini dengan aksi yang kurang memberansangkan.
Di pentas EPL, pasukan tersebut gagal mendapatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir diharungi mereka, dan kali terakhir Man United meraih tiga mata ketika bertemu Newcastle United pada 27 Disember lalu.
Bawah kendalian Carrick, dijangka beberapa perubahan bakal dilakukan oleh pengurus ini untuk menghadapi Man City yang dianggap sebagai pilihan utama memenanginya walau di laman lawan.
Menurut One Football, Carrick mungkin akan menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan penekanan penuh diletakkan kepada bahagian tengah untuk menghalang setiap gerakan bakal dicipta lawan.
Penjaga gol & pertahanan
Di posisi penjaga gol, dijangka Senne Lemmens akan terus menjadi pilihan utama kelab tersebut, walaupun ada yang mula meragui akan kebolehan beliau sejak beberapa aksi lalu.
Namun, Lemmens mempunyai kebolehan sangat tinggi untuk menyelamatkan keadaan dan momentum beliau diperlukan untuk aksi besar seperti ini.
Terarah kepada pertahanan pula, dijangka Ayden Heaven dan Lisandro Martinez akan membentuk gandingan terbaik untuk menyerap segala bentuk tekanan bakal diberikan oleh siri serangan Man City.
Cuma menjadi persoalan jika mereka mampu tampil dengan lebih serasi di atas padang dan tidak membuat sebarang kesilapan mudah yang akan merugikan pasukan.
Di bahagian sisi, keupayaan Diogo Dalot dan Luke Shaw ditagih dan mereka perlu sentiasa peka ketika membantu serangan, kerana siri serangan Man City musim ini cukup pantas dan mempunyai teknikal sangat baik.
Tengah & serangan
Terarah kepada bahagian tengah pula, Casemiro dan Kobbie Mainoo dijangka menjadi pilihan utama pasukan tersebut untuk senarai kesebelasan utama.
Pengalaman Casemiro sudah tentu ditagih untuk menghalang sebarang kemungkinan tidak dijangka bakal dibuat oleh pasukan pelawat sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung.
Bruno Fernandes kekal menjadi hub kreativiti serangan pilihan Carrick, dan beliau bakal membentuk gandingan bersama Bryan Mbeumo serta Matheus Cunha untuk menyokong Benjamin Sesko selaku penyerang tunggal.
Untuk posisi utama serangan, Carrick mempunya beberapa pilihan pemain lain untuk dipertaruhkan seperti Mason Mount dan Joshua Zirkzee mengikut situasi semasa perlawanan.
Adakah anda setuju dengan senarai pemain kesebelasan utama Man United ini?







