Permulaan ‘Ideal’ Semenyo Bersama Man City
Selepas beberapa hari ditandatangani, Antoine Semenyo tidak memerlukan masa panjang untuk terus diberi peluang beraksi oleh Manchester City.
Semenyo sebelum itu menjadi perhatian ramai, ekoran perpindahan beliau bersama Man City pada pertengahan musim 2025/2026 daripada Bournemouth.
Man City jelas mahu menambah sengat di posisi serangan, selepas kebergantungan mereka sebelum ini kepada Erling Haaland sangat tinggi, dan mereka memerlukan kedalaman skuad buat bahagian atas.
Dengan tanda harga £65 juta, Semenyo diperkenalkan kelab tersebut pada aksi pusingan ketiga Piala FA dengan beliau bertindak cukup cemerlang ketika Man City menewaskan Exeter menerusi keputusan 10-1.
Salah satu aspek menarik untuk diperkatakan, Semenyo bukan sahaja cepat menyesuaikan diri dengan falsafah permainan kelab tersebut, tetapi turut memberi impak besar buat siri serangan Man City.
Kelincahan pemain kebangsaan Ghana itu memastikan beliau berjaya mencipta satu gol dan satu ‘assist’ untuk menambah rasa teruja buat penyokong kelab berkenaan kini.
Bersama nilai harga yang tinggi, nampaknya ia sangat berbaloi kini buat Man City untuk terus menjadikan Semenyo sebagai antara pilihan utama selepas ini atau selaku pelan tambahan mengikut kesesuaian situasi.
Daripada segi kehendak Man City, Semenyo memenuhi segalanya pada aksi pertama tersebut menerusi corak permainan agresif, tekanan tinggi diberikan buat pertahanan lawan, serta bijak mencipta kombinasi dalam permainan.
Pep Ljinders selaku penolong pengurus turut mengakui kualiti penyerang berusia 26 tahun tersebut, dan menyifatkan beliau memiliki sikap rendah diri, dan memuji Semenyo sebagai seseorang yang cepat menyesuaikan diri dalam permainan.
Untuk catatan, Semenyo jadi pemain pertama sejak 2011 lalu yang meledak gol serta mencipta ‘assist’ dalam penampilan sulung beliau bersama Man City. Rekod tersebut sebelum itu telah dipegang oleh Sergio Aguero.
Bersama statistik 13 sumbangan gol musim ini bersama Bournemouth, sudah tentu ramai mengharapkan pemain sayap lincah ini mampu menawarkan sesuatu yang berbaloi dengan harganya kini.
Apapun, segalanya masih lagi awal dan Semenyo masih lagi mempunyai masa untuk membuktikan kualiti beliau selepas ini dengan catatan-catatan lebih positif bagi aksi-aksi akan datang.
Pep Guardiola juga sudah tentu ingin mengoptimumkan lagi kualiti milik Semenyo dengan beberapa percaturan berbeza mungkin bakal diterapkan oleh pengendali tersebut.
Bagaimana pandangan anda pula?







