Perez Silap Lantik Mourinho Selaku Pengurus Real Madrid?
Mungkin ada pengurus lain yang lebih layak untuk kendalikan Real Madrid berbanding ‘The Special One’
Sebaik sahaja Florentino Perez memenangi pilihanraya selaku presiden Real Madrid, salah satu manifesto beliau terus menjadi tumpuan ramai peminat di media sosial.
Terdahulu, Perez telah menjanjikan beberapa perkara bakal dilakukan beliau untuk terus menjulang The Galacticos sekiranya beliau memenangi pilihanraya selaku presiden Real Madrid.
Salah satu manifesto beliau terarah kepada perlantikan Jose Mourinho selaku pengendali utama kelab berkenaan yang mendapat perhatian ramai penyokong.
Nama Mourinho tidak perlu diperkenalkan dengan lebih lanjut lagi, kerana beliau antara pengurus paling berpengaruh dunia sehingga diberi gelaran ‘The Special One’ menerusi pencapaian diraih.
Rekod terdahulu juga menyaksikan Mourinho pernah mengendalikan Real sejak 2010 hingga 2013 dengan memastikan kelab berkenaan memperoleh 3 kejuaraan bawah kendaliannya dengan konsisten.
Nilai penting Mourinho buat Real
Jika dilihat, Mourinho antara pengendali yang sangat tegas dengan mana-mana pemain tanpa mengira status berjaya dibentuk bawah kendaliannya dengan cukup baik.
Seperti diketahui, Real kini diisi oleh kebanyakan pemain-pemain berstatus bintang yang mempunyai ego tersendiri seperti Vinicius Jr, Kylian Mbappe, dan beberapa tonggak lagi.
Masalah ego dan ketegangan mereka di bilik persalinan juga menyaksikan ia menjadi masalah utama Real yang gagal memberikan fokus sepenuhnya untuk mengejar pelbagai trofi kejuaraan, selain Xabi Alonso turut meninggalkan pasukan itu.
Kehadiran Mourinho dilihat mampu memberi keseimbangan terbaik buat pasukan berkenaan dengan beliau bakal memastikan tiada mana-mana pemain lebih besar daripada kelab.
Disebabkan itu Perez melihat Mourinho sebagai calon yang cukup sesuai untuk mengemudi Real pada musim akan datang, kerana ia dapat memulihkan semula masalah besar dihadapi kelab berkenaan yang turut berdepan isu prestasi akibat masalah dalaman.
Mourinho tetap dipersoal
Walaupun begitu, masih ada segelintir peminat Real Madrid mempersoalkan tentang keupayaan Mourinho untuk mengendalikan kelab berkenaan dalam dunia bola sepak semakin moden.
Rekod permainan beliau yang terlalu defensif menjadikan sesetengah penyokong tidak menggemarinya kerana Real dikenali sebagai pasukan cukup hebat sewaktu menyerang dan sangat kreatif.
Sesetengah lagi menganggap rekod permainan Mourinho sejak beberapa musim bersama kelab-kelab lain juga kurang menyakinkan dan pendekatannya diangggap terlalu keras.
Tetapi bagi kami, Mourinho individu paling tepat kini untuk sekurangnya memulihkan keharmonian dalam pasukan menerusi ketegasan beliau dari luar padang.
Jika tidak, isu serupa akan terus berlaku dengan ketegangan sesama pemain serta ada antara mereka tidak menghormati pengurus kelab seperti dialami Xabi Alonso.





