Perbandingan Kualiti Mesut Ozil & Bruno Fernandes
Dalam kalangan peminat kini di media sosia, sudah ada yang mula membandingkan siapa lebih bagus antara Bruno Fernandes dan Mesut Ozil.
Nama Bruno Fernandes kini terus menjadi fenomena dalam saingan English Premier League (EPL), menerusi ketajaman dan kreativitinya.
Bersama Manchester United, Bruno merupakan penggerak utama kepada siri serangan dan menjadi hub kreativiti buat pasukan berkenaan mengatur gerakan terbaik bagi memperoleh serangan.
Bruno kesayangan peminat
Semenjak awal penyertaan beliau buat Manchester United pada tahun 2020, pemain kebangsaan Portugal ini tampil cukup konsisten daripada segi corak permainan beliau di atas padang.
Impak ditinggalkan Bruno menjadikan pemain tengah itu terus menambat hati para peminat The Red Devils sehingga beberapa perbandingan mula dibuat.
Terbaharu di media sosial, nama Bruno mula dibandingkan bersama legenda bola sepak Arsenal dari Jerman, Mesut Ozil.
Ozil atau Bruno lebih bagus?
Perbalahan di media sosial membabitkan penyokong Bruno dan Ozil menjadi subjek yang sangat menarik untuk kita perkatakan.
Masing-masing mempunyai pandangan dan hujah tersendiri mengapa pemain kesayangan mereka lebih hebat dan menyakinkan untuk terus dijulang.
Jika dibandingkan secara statistik di pentas EPL sahaja, Bruno Fernandes kini lebih unggul apabila beliau sudah merekodkan 131 sumbangan gol daripada 217 penampilan.
Manakala Ozil sewaktu bersama Arsenal pula telah menyumbang sebanyak 87 jaringan daripada 184 penampilan di pentas EPL sebelum itu.
Harus diingat, perbandingan ini dibuat hanya menerusi penampilan mereka di pentas EPL dan bukannya kejohanan lain.
Perbandingan sukar dan tak perlu
Jika diikutkan sebenarnya, perbandingan kedua pemain ini tidak perlu dilakukan kerana mereka beraksi pada masa yang berbeza dan impak tidak sama buat kelab masing-masing.
Ozil dianggap sebagai pemain yang cukup ikonik dalam kalangan peminat Arsenal atau penyokong luar pada era kegemilangannya kerana kualiti teknikal dimiliki pemain tersebut cukup mengujakan.
Kualiti kawalan bola dan kepelbagaian teknik hantaran bola menjadikan Ozil sangat istimewa walaupun statistiknya kurang daripada Bruno.
Malah, teknik ‘Ozil Bounce’ ciptaannya sendiri terdahulu cukup menarik untuk diperkatakan sebingga kini kerana ia sukar untuk ditiru mana-mana pemain lain.
Bruno dengan gaya tersendiri
Terarah kepada Bruno pula, kualiti skil individu beliau mungkin tidak mampu menyamai dengan apa disumbangkan oleh Ozil ketika bersama Arsenal.
Tetapi konsistensi dan ketajaman beliau di hadapan gol lebih menyerlah dan kreativiti beliau juga sangat tinggi untuk meningkatkan peratus penghasilan jaringan buat Manchester United.
Hampir setiap perlawanan membabitkan Man United, pastinya nama Bruno antara paling tinggi dalam menghasilkan peluang-peluang gol menerusi kreativiti miliknya.
Secara kesimpulan, Bruno dan Ozil sama-sama tampil dengan cukup memukau bersama pasukan masing-masing walaupun berada pada masa berbeza.
Tiada perbandingan yang logik untuk dibuat kerana pembawaan setiap pemain itu sendiri cukup berbeza daripada segi falsafah dalam permainan.









