Perancis Juara Piala Dunia 2026
Dengan apa ditampilkan mereka dan kelebihan setiap pemain dimiliki, sukar untuk kita nafikan prestasi semasa Perancis kini.
Perancis menepati ramalan ramai untuk menjadi negara seterusnya yang berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Imbas kembali aksi pagi tadi, skuad kendalian Didier Deschamps langsung tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menewaskan cabaran Sweden menerusi keputusan penuh, 3-0.
Pada aksi itu juga menyaksikan Kylian Mbappe sekali lagi tampil dengan kualiti permainan yang cukup menyakinkan sebagai penyerang utama, dengan beliau merekodkan dua lagi jaringan peribadi.
Manakala satu lagi gol pula, diledak oleh pemain muda lincah yang kini mula mencuri perhatian ramai penyokong dari seluruh dunia, Bradley Barcola.
Kemenangan tersebut menyaksikan Perancis berjaya mengekalkan rekod semua kemenangan pada saingan musim ini sejak tiga aksi peringkat kumpulan lalu lagi.
Prestasi Perancis terlalu hebat
Jika kita imbas kembali perjalanan Perancis sebelum mengharungi kejohanan Piala Dunia 2026, mereka telah pun menghadapi empat aksi persahabatan yang semuanya berakhir dengan kemenangan.
Momentum itu diteruskan pula dalam saingan Piala Dunia 2026 peringkat Kumpulan I apabila mereka meraih mata maksima untuk berada di kedudukan teratas sekali.
Daripada segi permainan, segalanya tampak tersusun dan pasukan itu antara negara yang mempunyai barisan serangan cukup berbahaya dan telah merekodkan banyak gol.
Dalam empat perlawanan dihadapi setakat ini, Perancis telah pun meledak 13 gol dan hanya dibolosi sebanyak dua kali sahaja sewaktu bertemu Senegal dan Norway.
Siapa kunci utama serangan Perancis? Sudah tentu segalanya terarah kepada Mbappe yang terus cemerlang pada persaingan ini selaku antara penyerang berbisa.
Reputasi Mbappe unggul
Sehingga kini, Mbappe telah pun terlibat dalam lapan penghasilan gol daripada 13 jaringan yang direkodkan oleh Perancis termasuk pada aksi pagi tadi berdepan Sweden.
Secara pecahan, penyerang 27 tahun itu kini berjaya menyamai jumlah jaringan semasa Lionel Messi (6 gol) untuk bergelar penjaring terbanyak Piala Dunia 2026.
Tetapi, Mbappe dilihat mempunyai kelebihan berbanding Messi kerana penyerang Real Madrid itu turut merekodkan dua ‘assist’ ketika menentang Norway.
Pemain-pemain Perancis lain juga sebenarnya turut menyakinkan pada saingan musim ini baik daripada pilihan kesebelasan utama atau mereka di bangku simpanan.
Desire Doue, Ousmane Dembele, Michael Olise, Rayan Cherki, William Saliba, dan ramai lagi pemain jelas mempunyai reputasi tinggi dan berjaya memberi nilai cukup baik buat Perancis.
Pilihan siapa juara?
Walaupun persaingan masih panjang, kebanyakan penyokong melihat Perancis mempunyai peluang cukup cerah untuk sekali lagi melangkah ke final dan mungkin meraih kembali trofi Piala Dunia.
Namun, cabaran Sepanyol, Maghribi, dan Argentina juga tidak boleh dipertikaikan kerana mereka turut tampil dengan kualiti tersendiri untuk diperkatakan.
Cuma tunggu dan lihat bagaimana aksi 32 terbaik ini berakhir sebelum saingan lebih sengiy pada pusingan 16 terakhir berlangsung pula nanti.






