Penyokong Terengganu Sibuk Tempah ‘Homestay’ Awal Di Bukit Jalil
Dengan persiapan semasa Terengganu kini, tak mustahil pasukan ini boleh rangkul trofi kejuaraan!
Terengganu menjadi antara pasukan yang kini sedang aktif membuat persiapan sebelum mengharungi saingan bagi musim 2026/2027 tidak lama sahaja lagi.
Sehingga kini, beberapa pemain baharu telah pun diperkenalkan Sang Penyu, selain mereka berjaya mendapatkan kembali bekas pengendali, Nafuzi Zain untuk saingan hadapan.
Tampil sedikit suram musim lalu, perubahan dituntut oleh para penyokong terutama sekali membabitkan corak permainan lebih konsisten dan kualiti pemain ditandatangani.
Untuk itu, beberapa tindakan drastik dibuat terutama sekali membabitkan senarai pemain baharu yang ditandatangani mereka untuk beberapa posisi selain ada juga turut dilepaskan.
Sehingga kini lapan pemain baharu sah diperkenalkan Terengganu dengan empat daripadanya merupakan status import di posisi pertahanan, tengah, serta serangan.
Terengganu amal langkah kitar semula
Kepulangan Habib Haroon, Manny Ott dan Jordan Mintah antara yang mendapat perhatian penyokong dan masing-masing hadir dengan pandangan tersendiri mengenai kelibat dua tonggak tersebut.
Ada yang menyifatkan Habib, Ott dan Mintah sudah pun melepasi masa terbaik mereka dan kehadiran tiga pemain tersebut sebagai suatu pembaziran semata.
Habib misalnya pada saingan musim lalu tidak banyak sumbangan positif ditawarkan beliau buat Kelantan The Real Warrior (KTRW) baik daripada segi kualiti individu atau secara berpasukan.
Manakala Mintah pula hanya mampu merekodkan dua gol sahaja pada musim lalu ketika bersama Kuching City, walaupun beliau diberi peluang beraksi sebanyak 21 perlawanan.
Tetapi,ada juga menyangkal pemain-pemain ini sebagai suatu pembaziran, kerana mereka bakal mendapat semula sentuhan daripada Nafuzi Zain yang diakui pernah menaikkan para pemain tersebut dalam Liga Malaysia.
Peluang kembali bangkit?
Di media sosial kini juga menyaksikan para penyokong Terengganu optimis dengan persiapan semasa dibuat oleh pasukan berkenaan sebelum tirai saingan bermula.
Ada yang sudah memberi bayangan Terengganu mungkin berpeluang mendakap trofi kejuaraan domestik jika kena pada caranya bawah kendalian Nafuzi kembali.
Pada masa sama, usikan-usikan peminat optimis lain turut dilontarkan dengan ramai sudah bersedia untuk menyewa ‘homestay’ dan mencari bas untuk rombongan ke final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Kehadiran muka baharu seperti Romel Morales, Victor Ruiz dan Elvis Kamsoba di posisi serangan juga dilihat sebagai suatu perkara menarik untuk diperkatakan.
Apapun, pasukan-pasukan lain juga sudah mula membuat persiapan dan memperkenalkan tonggak baharu mereka untuk cuba merebut kejuaraan domestik.






