Penyokong Selangor Mahu Kekalkan ‘Kepimpinan Kim Pan-gon’
Reputasi Kim Pan-gon bersama Selangor kini sangat cemerlang baik daripada segi keputusan atau prestasi permainan di atas padang.
Sejak kehadiran Kim Pan-gon bersama Selangor, atmosfera pasukan tersebut tampak berubah ke arah lebih positif, sehingga ia mendatangkan hasil yang sangat baik.
Membawa status selaku bekas pengendali Harimau Malaya sebe;um ini dengan cemerlang, konsistensi itu berjaya dipertahankan kini bersama Selangor pula, sehingga tumpuan mula diberikan kepada gerak kerja beliau.
Selangor sebelum adanya KPG
Jika kita imbas semula perjalanan Selangor awal musim 2025/2026, pasukan ini tampil dengan masalah daripada segi konsistensi dalam permainan, sehingga ia mengundang kritikan dalam kalangan peminat.
Selain bekas pengendali Katsuhito Kinoshi dikritik kerana cara pengendalian beliau kurang menyakinkan, prestasi beberapa pemain sendiri termasuk import juga tampak tidak menyakinkan.
Kemuncak, persembahan Selangor di pentas AFC Champions League Two (AFC2) sendiri turut menerima tempias, sehingga mengundang kepada amukan peminat di media sosial yang tidak berpuas hati dengan The Red Giants.
Rombakan dibuat Kim bersama Selangor
Pada awal kehadiran Kim bersama Selangor, tidak semua hadir dengan sisi positif kepada beliau dengan ada yang mempertikaikan jika jurulatih tersebut mampu atau tidak menaikkan kembali reputasi Selangor yang terdahulu sedikit terumbang ambing.
Namun, pengendali dari Korea Selatan tersebut menggunakan pengalaman beliau dengan sangat baik untuk menstrukturkan kembali taktikal pasukan tersebut dan membuat beberapa rombakan dalam kalangan pemain import.
Beberapa muka tenaga staf kejurulatihan lain turut ditandatangani dalam usaha untuk membantu Kim menguruskan Selangor dengan lebih baik dari tepi padang termasuk jurulatih kecergasan baharu.
Impak positif diraih Selangor
Hasilnya, perubahan positif berjaya diraih kelab berkenaan kini baik di pentas domestik atau kejohanan ACC Shopee Cup, dengan perubahan permainan Selangor dapat dikesan dalam kalangan peminat serta pemerhati bola sepak tempatan.
Sehingga kini The Red Giants masih belum tewas dalam lapan perlawanan, dengan tujuh daripadanya merupakan kemenangan buat pasukan tersebut, termasuk di pentas ACC Shopee Cup, apabila mereka melangkah ke pentas separuh akhir.
Malah, Selangor juga kini berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia, menerusi kejayaan mereka semalam menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan agregat 6-1 di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan aksi cukup cemerlang.
Pada aksi itu juga, Kim hanya memerlukan separuh masa pertama sahaja untuk garang mendapatkan empat gol, dengan taktikal permainan cukup ampuh di segenap posisi untuk menidakkan pasukan lawan.
Kekalkan kepimpinan Kim Pan-gon
Di media sosial kini, banyak komen-komen positif terus dilontarkan para peminat buat pasukan tersebut, terutama sekali kepada Kim yang dianggap berjaya menyelamatkan prestasi pasukan.
Jumlah kehadiran penyokong di MBPJ juga semakin baik, ekoran kepercayaan penuh daripada peminat buat pasukan itu selain keterujaan melihat corak permainan positif ditawarkan oleh pasukan berkenaan sejak beberapa perlawanan lalu.
Laungan, “kekalkan kepimpinan KPG” di media sosial juga semakin banyak dilontarkan oleh peminat yang tampaknya semakin yakin dengan gerak kerja Kim kini cukup memberansangkan sejak lapan perlawanan lalu.
Apapun, perjalanan buat Kim masih lagi panjang, dan beliau tampaknya mempunyai banyak persiapan lain perlu dibuat kerana cabaran akan datang tampaknya semakin sukar.







