Penyokong Selangor FC Masih 'Trust The Process'?
Selangor dan Arsenal ada persamaan: kemarau trofi berpanjangan. Cuma bezanya Arsenal dah raih kejuaraan utama, sementara Selangor masih lagi kemarau.
Sebagai peminat Arsenal, Dr. Johan Kamal Hamidon mungkin tersenyum lebar pada 2026. Selepas 22 tahun menunggu, The Gunners akhirnya kembali relevan. Trajektori mereka jelas, kemajuan mereka semakin nyata dengan trofi Premier League baru-baru ini. Tetapi apabila Dr. Johan memakai topi CEO Selangor FC, senyuman itu mungkin pudar.
Arsenal dan Selangor berkongsi satu persamaan: kemarau trofi utama yang panjang. Kali terakhir Selangor menjuarai trofi utama adalah pada tahun 2015 (Piala Malaysia). Trofi Piala Cabaran pada musim 2024-25? Bagi piawaian kelab sebesar Selangor, ia ibarat menghadiahkan ‘participation trophy’ kepada bekas juara dunia.
Cuma bezanya Selangor dengan Arsenal adalah Arsenal akhirnya telah menamatkan kemarau trofi liga selama lebih dua dekad pada musim ini. Dan untuk menamatkan kemarau trofi Premier League ini, Arsenal perlu menukar pengurusannya. Di luar dan di atas padang. Selangor pula baru sahaja melepasi dekad pertama kemarau trofi Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia. Dengan pengurusan sama, Selangor seperti melakukan limbo — semakin lama, semakin rendah palangnya. Dan penyokong Red Giants ketika ini tertanya-tanya: sampai bila mereka perlu bersabar?
Sasaran vs Realiti
Pada Julai 2025 lepas, Dr. Johan berdiri di hadapan media dengan penuh keyakinan. Sasarannya jelas: Selangor menamatkan saingan liga dalam kelompok dua teratas, melangkah ke pentas akhir setiap kejohanan domestik, dan mara ke peringkat kalah mati di ACL2 dan Piala Shopee.
Bunyinya munasabah. Malah optimistik.
Tetapi apabila tirai musim 2025/26 dilabuhkan, realitinya lain. Liga Super: tempat ketiga. Piala FA: separuh akhir. Piala Malaysia: separuh akhir. ACL2: tersingkir di peringkat kumpulan, tercorot di kumpulan yang dianggotai oleh Persib Bandung, Bangkok United dan Lion City Sailors. Hanya prestasi di Piala Shopee yang memberikan sedikit kelegaan buat penyokong — muncul naib juara.

Daripada lima sasaran utama, Selangor FC gagal memenuhi empat daripadanya. Bagi sebuah kelab dengan bajet, nama besar dan sejarah sebesar Selangor, ini adalah kegagalan yang perlu dipersoalkan.
Pusingan Pintu Jurulatih & Pemain
Dalam dunia bola sepak, konsistensi adalah metrik yang paling berharga. Pengurusan Selangor FC nampaknya gagal menterjemahkan konsep ini. Di Liga Super, pencapaian Selangor sebenarnya lebih konsisten sebagai pasukan kelima terbaik, bukannya pasukan kedua terbaik. Pada musim 2019 (musim pertama Dr. Johan sebagai CEO kelab), Selangor menduduki tangga ke-3 liga. Musim 2020: kelima liga; musim 2021: kelima liga, musim 2022: kelima liga, musim 2023: kedua liga; musim 2024-25: kedua liga; dan terkini musim 2025-26: ketiga liga.
Musim 2025/26 juga menyaksikan tiga ketua jurulatih datang dan pergi dalam tempoh satu musim. Ini bukan fenomena baharu. Sejak 2019, Selangor telah melantik 10 ketua jurulatih berbeza dalam lapan musim. Hampir satu jurulatih baru setiap musim.
Begitu juga dengan pemain. Sejak 2019, Selangor telah menandatangani 36 pemain tempatan, separuh daripadanya bertaraf pemain kebangsaan, dan 42 pemain import. Konsistensi Selangor dalam polisi merekrut turut dipersoalkan pada musim terbaru ini apabila tiga pemain import mereka — Kevin Deeromram, Willian Lira dan Zack Clough — ditamatkan kontrak pada tengah-tengah musim.
78 pemain. 10 jurulatih. Lapan musim. Hanya satu Piala Cabaran di kabinet trofi. Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di Selangor FC.
Kekecohan Di Luar Padang
Jika prestasi di atas padang sudah mengecewakan, apa yang berlaku di luar padang lebih memburukkan keadaan.
Dalam perlawanan Piala FA di Stadium MBPJ pada hujung Oktober 2025 lepas, penyokong Selangor FC bertindak membakar mercun, merosakkan tempat duduk penonton sebelum membalingnya (bersama botol air) ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua orang. Tidak cukup dengan itu, seorang VVIP dari pihak Selangor FC juga bertindak membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC. Akibatnya, Selangor FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh FAM.
Dalam perlawanan ACL2 menentang Persib Bandung, AFC mengenakan denda berjumlah USD24,500 (kira-kira RM110,286) kepada Selangor FC atas kesalahan menyebabkan kelewatan permulaan separuh masa kedua perlawanan, dan penyokong menceroboh padang semasa perlawanan.
Paling mengaibkan adalah insiden perarakan dan pembakaran suar yang mengganggu aliran trafik di jambatan Kuala Terengganu pada Februari 2026. Seramai 21 daripada 33 penyokong Selangor FC ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) juga didapati positif dadah, termasuk memiliki ganja dan erimin 5. Insiden sangat memalukan sehingga mengundang kecaman Sultan Selangor sendiri.
Bola sepak adalah cerminan pengurusan. Dan cermin Selangor tidak menunjukkan gambaran yang cantik.
Pengurusan Yang Tidak Berubah
Untuk berlaku adil kepada Dr. Johan, pencapaian Selangor tidak merosot di bawah kendaliannya. Tetapi ia juga tidak menunjukkan sebarang tanda kemajuan. Selangor statik. Seperti yang dicanang-canang penyokong mereka sendiri, bola sepak Malaysia memerlukan Selangor untuk menjadi pasukan yang kuat. Kuat Selangor, kuatlah Harimau Malaya kata mereka.
Paling merisaukan adalah penyokong Selangor mungkin sudah imun dengan kitaran ini. Pemain baru tiba. Jurulatih baru dilantik. Janji baru dibuat. Kemudian musim berakhir dengan tangan kosong — dan kitaran berulang semula.
Selepas kekalahan kepada Persib, ada sebahagian kecil penyokong Selangor FC berhimpun di luar Stadium MBPJ menuntut ketelusan tentang pengagihan dana kerajaan negeri. Malangnya tuntutan ini hanya mewakili sebahagian kecil rungutan penyokong yang kecewa. Sebahagian besarnya masih menunggu dan melihat.
Satu perkara yang tidak pernah berubah di Selangor dalam lapan musim ini: pengurusan kelab. Pemain bertukar, jurulatih bertukar — tetapi wajah-wajah di pejabat Selangor FC (rata-ratanya) kekal sama. Dan dalam dunia bola sepak, apabila segala-galanya sudah dicuba kecuali satu perkara, jawapannya biasanya terletak pada perkara yang belum dicuba itu.
Lebih merisaukan: Kuching City pula nampak lebih maju sejak dua musim kebelakangan ini. Pasukan Borneo ini menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua dan baru-baru ini muncul sebagai finalis Piala Malaysia. Kelab yang dahulunya dipandang rendah kini sudah menyamai — malah melebihi — Selangor dalam beberapa aspek penting.
Soalan Yang Perlu Dijawab
‘Trust The Process’ hanya bermakna apabila ada proses yang boleh dipercayai.
Lapan musim. Sepuluh jurulatih. Tujuh puluh lapan pemain. Kontroversi demi kontroversi. Insiden demi insiden. Dan hanya satu trofi besar dalam tempoh lebih satu dekad — Piala Malaysia 2015. Itupun dicapai oleh pengurusan yang diusir pengurusan sekarang.
Soalannya bukan lagi, “Bilakah Selangor akan bangkit?” Soalan sebenarnya adalah: “Siapakah yang berani membuat keputusan sukar yang sudah lama tertunggak?” Kerana dalam bola sepak — seperti dalam kehidupan — definisi gila adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.
Penyokong Selangor perlu mendesak pengurusan kelab mereka untuk memberikan jawapan.





