Seperti dijangka, aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia semalam dalam saingan Piala Asean FIFA 2026 memang menjadi tumpuan utama para penyokong.
Baik di stadium atau di media sosial, kehangatan aksi itu jelas dirasai walaupun kedua negara berkenaan hanya mencatat keputusan seri 0-0 sahaja pada masa penuh perlawanan.
Untuk Malaysia, keputusan seri ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang sangat memuaskan kerana mereka beraksi di gelanggang lawan dan hadir dengan reputasi lebih rendah berbanding tuan rumah.
Bagi Indonesia, jelas ini merupakan suatu kekecewaan buat penyokong untuk menelan keputusan seri tersebut, selepas jangkaan tinggi diletakkan kepada Sang Garuda untuk mengatasi Malaysia.
Keputusan ini juga menjadikan para penyokong negara tersebut meletakkan pelbagai kesalahan kepada pasukan sendiri, atas kegagalan mengambil peluang ketika berdepan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Malaysia kejutkan Indonesia
Sebaik permainan bermula, Indonesia seolah bungkam untuk mencipta sebarang peluang atau melakukan sesuatu yang lebih positif, selain menyerap tekanan-tekanan dilakukan skuad kebangsaan.
Arif Aiman menjadi pemain paling cemerlang pada perlawanan berkenaan, sehingga Thom Haye dilayangkan kad merah kerana kekasaran dibuat demi menghalang kelincahan bintang JDT tersebut.
Malaysia jelas lebih unggul pada aksi ini dengan mereka menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang ke arah gawang gol lawan yang lebih banyak bertahan daripada menyerang.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Indonesia tetap perlu malu dengan Malaysia, apabila mereka menggunakan semua pemain warisan dalam kesebelasan utama dan kebanyakan beraksi di Eropah.
Malah, penyokong Malaysia juga dengan sinis di media sosial menyatakan skuad Harimau Malaya juga sebenarnya bermain dengan 10 pemain sahaja.
Mana Syihan Hazmi?
Di media sosial, kebanyakan penyokong Malaysia bergurau tentang kewujudan penjaga gol utama negara, Syihan Hazmi yang dianggap tidak wujud pada aksi tersebut.
Ini kerana, beliau tidak banyak diuji pada aksi tersebut dengan statistik juga menunjukkan Indonesia hanya berjaya mencipta 1 sahaja percubaan tepat ke arah gawang Malaysia.
Dengan pertaruhan beberapa pemain warisan dari Eropah seperti Ole Romeny, ia tidak menghalang pertahanan Malaysia yang ditunjangi Dion Cools untuk menghalang segala peluang cuba dicipta Indonesia.
Malah, Syihan langsung tidak wujud di kaca televisyen pada aksi semalam menjelang penghujung separuh masa kedua perlawanan, kerana situasi menyaksikan Malaysia menekan Indonesia secara bertali arus.
Apapun, beliau tetap cemerlang sebenarnya menyelamatkan keadaan beberapa kali dengan lebih awal untuk menafikan peluang Indonesia mendapatkan gol pada aksi tersebut.
Puas hati cuma…
Jika dinilai pada aksi semalam, segalanya tampak dengan sangat baik terutama sekali sistem pertahanan negara yang berjaya memastikan lawan buntu untuk memperoleh sebarang peluang.
Namun, beberapa perkara masih perlu diperbaiki terutama daripada segi kualiti penyudah dan kreativiti merangka serangan berbahaya ke arah kubu lawan.
Malah, pemain seperti Faisal Halim antara yang perlu meningkatkan kualiti dalam permainan apabila impak beliau tidak begitu dirasai pada aksi tersebut.
Selebihnya, kita berharap Malaysia mampu melangkah maju dalam saingan ini untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.






