Penyokong N. Sembilan Persoal Kelibat Anuar Ceesay Sebelum Hadapi Selangor
Kelibat pemain import baharu Negeri Sembilan, Anuar Ceesay kini terus menjadi persoalan dalam kalangan peminat.
Terdahulu, skuad Hoben Jang Hoben menandatangani khidmat Anuar Ceesay yang sebelum ini bermain di saingan A1 Semi-Pro bersama UM Damansara di posisi serangan utama.
Ketika awal diperkenalkan, Ceesay mendapat tumpuan ramai peminat, khususnya penyokong Negeri Sembilan ekoran kualiti beliau terdahulu bersama UM Damansara di posisi serangan.
Reputasi Ceesay menyakinkan
Ini kerana pemain berdarah Gambia-Inggeris-Malaysia itu pernah menampilkan aksi cukup cemerlang ketika bersama UM Damansara sewaktu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di saingan Piala FA.
Pada aksi tersebut, Ceesay berjaya meledak dua gol peribadi ketika UM Damansara mencatat kekalahan 3-5 di tangan JDT dengan aksi ditampilkan cukup menyakinkan di posisi serangan.
Maka, keyakinan peminat juga sangat tinggi kepada Ceesay yang mengharapkan kualiti pemain tersebut terus dipertaruhkan oleh Nidzam Jamil buat Negeri Sembilan.
Ceesay ‘hilang’ bersama Negeri Sembilan
Malangnya, Ceesay setakat ini hanya dipertaruhkan dalam dua perlawanan sahaja ketika saingan awal Piala Malaysia dan satu aksi di pentas Liga Super.
Selebihnya, nama beliau langsung tidak ada untuk kesebelasan utama atau di bangku simpanan yang mula meresahkan peminat-peminat untuk mempersoalkan di media sosial.
Ada yang menganggap Ceesay mungkin sekadar import pelengkap pasukan atau beliau tidak diberi peluang langsung untuk mempamerkan sesuatu buat Hoben Jang Hoben di pentas domestik.
Nidzam Jamil beri pendapat tentang Ceesay
Pengendali utama Negeri Sembilan, Nidzam Jamil tampil mendedahkan mengenai ketiadaan Ceesay sebelum itu ketika aksi bertemu Imigresen yang mendapat perhatian banyak peminat di media sosial.
Ulas Nidzam di Berita Harian, pemain sayap berkenaan terpaksa diketepikan sebelum itu kerana ia membabitkan kepada pertimbangan taktikal dan teknikal pasukan.
“Anuar tidak disenaraikan atas pertimbangan dan keperluan teknikal serta taktikal. Kita percaya pada perlawanan menentang Imigresen itu sangat ketat dan mencabar.
“Jadi kita buat keputusan untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada bahagian pertahanan dalam memastikan jentera serangan pasukan lawan dapat ditangani dengan lebih baik,” ulas beliau.
Ceesay kembali pada aksi bertemu Selangor?
Bagi aksi suku akhir Piala Malaysia hari ini, sudah tentu kelibat pemain berkenaan antara menjadi tumpuan utama, jika beliau dibawa turun atau tidak.
Di ruangan komen media sosial rasmi pasukan berkenaan, ramai penyokong persoalkan tentang kelibat beliau masih ada atau tidak.
Tetapi, seperti diperkatakan Nidzam sebelum ini, ianya tertakluk kepada keperluan taktikal pasukan sendiri untuk menggunakan khidmat Ceesay atau tidak.
Jika tidak, maka penyokong Hoben Jang Hoben perlu terus menunggu kelibat beliau pada aksi-aksi akan datang untuk dipertaruhkan.






