Penyokong Liverpool Yakin Angkat Piala Bersama Iraola
Musim baharu, semangat baharu bersama pengendali baharu untuk angkat trofi!
Liverpool nampaknya bakal kembali bangkit pada musim seterusnya, setelah mereka mengharungi detik cukup suram bagi saingan 2025/2026 di pentas domestik dan antarabangsa.
Musim 24/25, ianya merupakan detik cukup gemilang buat The Reds, selepas mereka muncul selaku juara English Premier League bawah kendalian Arne Slot.
Segala-galanya tampak sempurna, sehingga ada menganggap The Reds mampu mempertahankannya bagi musim 25/26 dengan sedikit penambahbaikan.
Musim paling malap buat Liverpool
Namun, segalanya tidak menjadi realiti dan situasi dilihat cukup buruk untuk sesebuah kelab yang berjaya merangkul kejuaraan EPL pada musim sebelum itu.
Liverpool bukan sahaja tidak konsisten daripada segi permainan mereka, malah kelab berkenaan juga gagal menempatkan diri walau di kelompok tiga terbaik.
Kejohanan domestik lain pula menyaksikan Arne Slot hanya mampu memacu Liverpool di pusingan suku akhir Piala FA, pusingan keempat EFL Cup, dan naib juara Community Shield.
Malah, tiada apa menarik untuk diperkatakan mengenai perjalanan mereka di pentas UCL, kerana The Reds hanya menamatkan cabaran mereka pada pusingan suku akhir.
Tanpa piala, tanpa pencapaian, dan tiada apa untuk mereka banggakan pada musim 2025/2026 bawah kendalian Slot walau ada rombakan besar sudah dibuat.
Andoni Iraola harapan baharu The Reds
Disebabkan itu, pengurusan Liverpool mengambil keputusan pantas untuk menyingkirkan Slot dengan nama pengendali AFC Bournemouth, Andoni Iraola dikaitkan bersama The Reds.
Musim 25/26 menyaksikan Bournemouth menamatkan cabaran di pentas EPL pada kedudukan keenam terbaik dan memastikan pasukan itu mara ke pentas Eropah.
Malah, Iraola juga memastikan pasukan tersebut mengekalkan rekod tanpa tewas untuk 18 kali berturut-turut sehingga ke penghujung musim dengan cukup membanggakan.
Keupayaan Iraola menyakinkan
Dengan kehilangan beberapa tonggak utama Bournemouth, ianya tidak mengganggu pasukan tersebut untuk kekal konsisten dan itulah antara kepakaran Iraola yang menguruskan kelab dengan sumber terhad.
Selain itu, Iraola juga mempunyai keupayaan cukup baik daripada segi pendekatan taktikal yang menumpukan kepada tekanan tinggi dalam permainan serta siri serangan balas pantas berdisiplin ketika bertemu kelab elit.
Malah, Iraola juga mempunyai fleksibiliti daripada segi penggunaan formasi permainan di atas padang mengikut kesesuaian situasi dan ciri pemain digunakan dalam sesuatu perlawanan.
Keyakinan tinggi penyokong
Di media sosial, ramai menganggap Iraola sebagai individu paling tepat untuk membantu Liverpool kembali pada landasan terbaik selaku salah satu kelab elit Eropah.
Beliau sebelum ini telah membuktikan keupayaannya bersama kelab pertengahan seperti Bournemouth dan sudah faham akan selok belok saingan Premier League untuk dibuktikan pula buat Liverpool.
Beberapa penyokong turut meluahkan keyakinan Liverpool mungkin berpeluang kembali untuk menjulang mana-mana trofi kejuaraan jika segalanya berada pada landasan terbaik.
Cuma Iraola perlu faham, cabaran beliau akan menjadi lebih besar selepas ini kerana kelab bakal diuruskannya mempunyai sejarah dan penyokong lebih fanatik untuk diperkatakan.





