Indonesia terdahulu secara rasminya telah pun muncul selaku juara bagi kejohanan Piala Asean FIFA 2026, selepas pasukan itu menundukkan cabaran Thailand menerusi penentuan sepakan penali pada akhirnya.
Pada aksi lalu, Indonesia dipaksa bekerja keras selepas masing-masing terikat seri 2-2, walaupun Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain akibat layangan kad merah ketika aksi berlangsung.
Tampil cemerlang pada penentuan penalti, Indonesia secara rasminya muncul selaku juara bagi kejohanan tersebut yang buat julung kalinya dianjurkan pada tahun ini oleh FIFA di negara tersebut.
Jika dilihat secara kenyataan, ini merupakan suatu kejayaan cukup menarik untuk diraikan para penyokong Indonesia, kerana itu juga dapat mengubati kekecewaan mereka terdahulu di pentas AFF.
Tetapi, para penyokong tampaknya kurang senang dengan beberapa perkara dan ianya diluahkan menerusi media sosial tentang apa yang mereka kurang gemar dengan perjalanan Indonesia dalam kejohanan berkenaan.
Pengendali Indonesia dikritik
Ya, pengendali Indonesia, John Herdman antara yang mendapat pelbagai kritikan dalam kalangan penyokong, walaupun beliau membantu negara itu menjuarai saingan Piala Asean FIFA 2026 di laman sendiri.
Herdman yang mengambil alih tanggung jawab selaku pengendali Indonesia pada awal tahun 2026 itu dilihat masih lagi kurang menyakinkan daripada segi pemilihan pemain dan percaturan taktikal walaupun dilimpahi bintang-bintang warisan dari Eropah.
Luahan tidak puas hati dalam kalangan penyokong Indonesia ini bukannya baharu, sebaliknya mereka mula mempertikaikan kewibawaan jurulatih tersebut sejak saingan Piala AFF lalu lagi, apabila Sang Garuda terkandas di peringkat kumpulan sahaja.
Sedangkan Indonesia ketika itu mempunyai ramai tonggak handalan dari Eropah dipertaruhkan, tetapi corak permainan ditampilkan pasukan tersebut seolah tampak serba tidak menjadi yang menyebabkan kegagalan berkenaan.
Masih ‘goyang’ hingga kini
Rentetan itu berlanjutan dalam saingan Piala Asean FIFA 2026, apabila mereka gagal memberikan aksi lebih menyakinkan daripada segi penguasaan permainan, kreativiti serangan, serta kelemahan disiplin pertahanan walaupun bertemu pasukan Asia Tenggara sahaja.
Hanya beberapa bulan sahaja lagi sebelum saingan Piala Asia 2027 bermula, tentunya ramai penyokong risau dengan situasi semasa Indonesia yang masih mencari-cari rentak sebenar mereka di atas padang dan persefahaman antara satu sama lain.
Bayangkan, dengan hampir keseluruhan pemain warisan yang mempunyai status menyakinkan di Eropah dipertaruhkan, mereka menghadapi kesukaran besar sewaktu menentang Malaysia, Singapura, dan Thailand pada kejohanan tersebut.
Beri masa buat Herdman
Pada masa sama, di media sosial juga masih ada yang mahu pengendali berpengalaman tersebut diberi masa untuk menilai kelemahan semasa pasukan dan membuat persiapan lebih rapi sebelum tirai Piala Asia 2027 bermula.

Diletakkan bersama Thailand, Jepun, dan Qatar dalam Kumpulan F, sudah tentu terbit kerisauan dalam kalangan penyokong untuk melihat bagaimana saingan mampu dijelmakan oleh Indonesia kepada lawan.
Hendak membuat rombakan baharu, ianya jelas berisiko buat Indonesia kini. Tetapi ramai yang mahu Herdman diberi tindakan keras sekiranya perkara sama masih berlaku pada kejohanan Piala Asia 2027 akan datang.






