Penyokong Arsenal Bangga Walau Tewas Di Tangan PSG
Lain macam punya tahap redha. Tapi tak apalah, gembira setiap orang tak sama kan?
Arsenal secara rasminya telah pun gagal untuk mendakap kejuaraan UEFA Champions League (UCL) 2025/2026, dengan mereka akur kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).
Imbas kembali, pada aksi tersebut The Gunners terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-6, hasil ledakan penyerang sensasi mereka, Kai Havertz untuk membuka impian kepada para penyokong kelab berkenaan.
Namun, gol tersebut gagal dipertahankan apabila Ousmane Dembele kembali memberi harapan kepada PSG menerusi sepakan penaltinya yang mudah menewaskan David Raya pada minit ke-65.
Pada perlawanan berkenaan juga menyaksikan PSG jauh lebih dominan daripada segi penguasaan bola dan mencipta peluang-peluang menarik untuk mendapatkan gol.
Berbanding Arsenal, skuad kendalian Mikel Arteta tampak lebih banyak bertahan menyerap asakan lawan dan hanya sesekali mencari peluang melakukan siri serangan balas pantas.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada PSG, selepas Arsenal gagal pada penentuan sepakan penalti yang menyaksikan kelab itu terus gagal untuk meraih kejuaraan UCL pertama mereka.
Statistik dominan buat PSG
Menerusi statistik dikeluarkan oleh Sofascore, PSG mendominasi perlawanan sebanyak 75%, manakala Arsenal pula cuma 25% sahaja sepanjang aksi berlangsung.
Daripada segi jumlah percubaan ke arah gol, The Gunners hanya mampu melakar 1 sepakan tepat sahaja ke arah gol, untuk menggambarkan masalah serangan mereka.
Walaupun gagal menambah jaringan, PSG tetap mendominasi jumlah percubaan berbanding Arsenal dengan 4 sepakan tepat berjaya dihasilkan kelab tersebut.
Paling ketara? Sudah tentu pada jumlah hantaran tepat yang dilakar kedua pasukan apabila PSG jauh lebih mendominasi berbanding The Gunners sepanjang saingan berlangsung.
Berikut merupakan statistik jumlah hantaran yang dibuat oleh kedua pasukan:
•Arsenal: 286 hantaran (196 tepat)
•PSG: 887 hantaran (806 tepat)
Penyokong Arsenal bangga
Di media sosial, masih ramai berbangga dengan prestasi ditampilkan oleh skuad kendalian Arteta walaupun mereka boleh dikatakan cukup mengecewakan di pentas final.
Daripada segi keputusan? Kualiti permainan? Segalanya gagal memihak kepada Arsenal jika dibandingkan oleh skuad kendalian Luis Enrique pagi tadi.
Kegagalan untuk cuba mendapatkan trofi sulung UCL ini menyaksikan pasukan tersebut perlu menunggu lagi untuk musim-musim akan datang dalam saingan berkenaan.
Namun, itu tidak bermakna ia mengecewakan peminat yang terubat dengan kejayaan Arsenal sebelum ini muncul selaku juara EPL musim 2025/2026.
Apapun, kita juga tidak boleh nafikan impak Arsenal musim ini yang berjaya selaku juara EPL dan mampu melangkah ke pentas akhir UCL walau gagal di tangan PSG.





