Anugerah berprestij dalam dunia bola sepak profesional, Ballon d’Or 2026 sudah pun selesai dengan kejayaan mutlak menjadi milik penyerang berbisa, Harry Kane untuk merangkul gelaran berkenaan kali ini.
Selain itu, beberapa anugerah lain seperti penjaga gol terbaik, pemain muda terbaik, dan untuk kategori wanita juga turut diumumkan sebentar tadi dengan pelbagai pendapat dikeluarkan oleh penyokong.
Lumrah, jika ada yang mempertikaikan anugerah-anugerah berkenaan jika ianya tidak diperolehi para pemain kesayangan mereka, pada Ballon d’Or edisi kali ini.
Malah, Kane sendiri antara dipertikaikan sebenarnya kerana ada sesetengah penyokong menganggap pemain lain sebenarnya lebih layak untuk mendapat anugerah tersebut jika dibandingkan penyerang handalan Bayern Munich itu.
Selain itu, sesetengah penyokong Arsenal sendiri di media sosial mempertikaikan anugerah berkenaan kali ini dengan alasan tersendiri mengapa pemain mereka lebih layak untuk mengukir nama di majlis tersebut.
Kemenangan David Raya dirompak
Ya, ramai mempertikaikan mengapa David Raya tidak terpilih selaku penjaga gol terbaik edisi kali ini sedangkan pemain tersebut tampil dengan cukup menyakinkan di pentas domestik dan antarabangsa.
Untuk kategori penjaga gol terbaik musim ini, kejuaraan tersebut telah disandang oleh tonggak utama Athletic Bilbao, Unai Simon walaupun rekodnya tidak begitu menyakinkan sebenarnya bersama kelab.
Apa tidaknya, Simon musim lalu gagal menamatkan cabaran dengan baik bersama kelab selain statistik beliau selaku penjaga gol utama juga langsung tidak memberansangkan.
Berbanding Raya, ramai menganggap musim lalu menjadi detik terbaik beliau untuk diangkat selaku penjaga gol terbaik Ballon d’Or edisi 2026 selepas rekod dilakarnya.
Selain memperoleh kejuaraan liga, Raya juga mencatat jumlah ‘clean sheets’ lebih tinggi jika dibandingkan Simon selain pengaruh beliau sendiri di atas padang bersama The Gunners cukup tinggi.
Pertikaian dibuat
Di media sosial, pertikaian terus dibuat dengan segelintir penyokong menganggap usaha Raya telah dirompak oleh Simon kerana anugerah itu bersifat populariti daripada statistik dan rekod kejayaan dilakar pemain.
Walaupun Simon cemerlang di pentas Piala Dunia 2026, secara keseluruhan pula Raya dianggap jauh lebih cemerlang dan konsisten dalam mempertahankan gawang gol daripada dibolosi.
Selain kemenangan Simon, kejayaan Kane sendiri turut dipertikaikan penyokong kerana ramai melihat Kylian Mbappe lebih layak secara keseluruhannya atau Lamine Yamal.
Pertikaian sebegini akan terus ada kerana setiap penyokong pastinya mahu melihat pemain kesayangan mereka meraih kejuaraan tersebut yang sekali gus membawa naik nama kelab diwakili.
Cuma untuk isu Raya-Simon, ianya boleh dikatakan unik kerana kami sendiri menjangkakan ianya bakal menjadi milik penjaga gol Arsenal tersebut sebelum ia menjadi kemenangan kepada Simon bagi edisi 2026.







