Arsenal semalam, tampil dengan kejutan di pusingan keempat Carabao Cup apabila mereka merekodkan kekalahan di tangan pasukan dari divisyen empat England, Fleetwood Town sehingga mendapat perhatian ramai pemerhati bola sepak dunia.
Pada aksi berkenaan, The Gunners hadir dengan reputasi cukup tinggi sebenarnya, apabila mereka membawa status selaku juara English Premier League (EPL) musim lalu dan menyenaraikan ramai bintang handalan dunia berbanding tuan rumah.
Namun, segala-galanya tampak tak menjadi buat skuad kendalian Mikel Arteta sehingga mereka terlebih dahulu dibolosi oleh Fleetwood menerusi ledakan bintang muda England, Aaron Loupalo-Bi pada minit ke-21 untuk mengejutkan pelawat.
Lebih menarik, Fleetwood berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga ke wisel penamat separuh masa pertama, untuk mengundang keresahan para penyokong Arsenal.
Di babak separuh masa kedua, Arsenal kembali bangkit pada minit ke-50 menerusi penyerang sensasi Sweden, Viktor Gyokeres sebagai petanda kebangkitan semula The Gunners pada perlawanan berkenaan.
Malangnya, keputusan tersebut kekal sehingga masa penuh permainan dengan Arsenal sekadar terikat seri 1-1 bersama Fleetwood yang mengheret ke penentuan penalti untuk mengesahkan siapa layak ke pusingan seterusnya. Lebih perit, Arsenal terpaksa melupakan khidsmat penyerang muda mereka, Max Dowman yang dilayangkan kad merah.
Tatkala ramai menjangkakan Arsenal mampu membenam cabaran tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti, sebaliknya berlaku apabila Fleetwood cemerlang mengatasi pelawat pada akhirnya menerusi keputusan 5-3.
Duo serangan Arsenal dikritik
Pada aksi berkenaan, jelas siri serangan Arsenal tampak begitu tumpul walaupun mereka mempunyai banyak peluang keemasan untuk mengatasi pasukan tuan rumah dengan lebih awal.
Ketika bertemu Fleetwood semalam, Arteta telah menyenaraikan dua penyerang utama pasukan berkenaan dalam kesebelasan utama, Kai Havertz dan Viktor Gyokeres sambil sibantu Max Dowman dan bintang muda baharu, Ceadach O’Neill untuk mengatasi lawan.
Tetapi segalanya tampak tidak menjadi dengan satu gol sahaja mampu direkodkan daripada 18 percubaan dihasilkan oleh Arsenal pada aksi berkenaan untuk menggambarkan betapa tumpulnya mereka.
Misalnya Havertz pada aksi tersebut telah merekodkan 7 percubaan secara keseluruhan dan gagal untuk menoktahkan ianya dalam bentuk gol. Lebih parah, pemain tersebut hanya mampu mencipta satu sahaja percubaan tepat.
Begitu juga dengan Gyokeres, selain satu gol berjaya direkodkan beliau, selebihnya penyerang utama itu gagal menghasilkan impak lebih besar dalam perlawanan berkenaan.
Jadi sasaran penyokong
Seperti dijangka, ramai penyokong tidak berpuas hati dengan kualiti dua penyerang mereka yang mempunyai reputasi tinggi, tetapi begitu lemau di hadapan gawang gol pasukan divisyen 4 England.
Malah, ada yang mencadangkan supaya Hvertz direhatkan terlebih dahulu pada aksi akan datang, dan rombakan semula perlu dibuat oleh barisan pengurusan dan kejurulatihan kelab buat posisi serangan kelab tersebut.
Sebenarnya, kritikan ini sudah pun disuarakan sejak awal saingan 26/27 bermula, dengan kebimbangan segelintir penyokong kepada barisan pemain serangan yang dianggap kurang menyakinkan.
Jika diikutkan, Arsenal sebenarnya mempunyai kedalaman skuad yang cukup baik di posisi tengah dan pertahanan, tetapi sedikit tepu buat siri serangan mereka yang kadangkala tidak konsisten.
Suka atau tidak, pasukan berkenaan perlu membuat beberapa rombakan di bahagian serangan, atau peluang pasukan tersebut untuk menjulang sekali lagi kejuaraan EPL atau ke pentas akhir UCL bakal terkubur begitu sahaja.







