Penjaga Gol ‘Otai’ Cabo Verde Raih Pujian Peminat Seluruh Dunia
Dia punya refleksi depan gawang gol, mengalahkan ‘keeper’ yang lebih muda. Fuh!
Nama penjaga gol utama Cabo Verde, Vozinha secara tiba-tiba menjadi tular di media sosial selepas aksi pertama mereka di pentas Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol.
Ini kerana beliau menjadi watak penting yang memastikan negara kecil itu melakar keputusan seri 0-0 ketika berdepan dengan salah satu pasukan gergasi Piala Dunia, Sepanyol.
Pada aksi tersebut, Sepanyol seolah buntu untuk mendapatkan gol selepas Cabo Verde hadir dengan aksi yang cukup berdisiplin menyerap tekanan lawan selain faktor kecemerlangan Vozinha sendiri.
Ya menerusi statistik dikeluarkan, Vozinha membuat aksi penyelamatan sebanyak tujuh kali untuk menafikan percubaan berbahaya daripada pasukan lawan dengan sangat konsisten.
Malah, Vozinha sendiri tidak gugup atau kehilangan fokus sepanjang perlawanan berlangsung, dan itu menjadi salah satu asbab kecemerlangan Cabo Verde meraih keputusan seri 0-0.
Disanjung peminat
Hadir tanpa mendapat perhatian ramai penyokong di pentas Piala Dunia 2026, secara tiba-tiba nama beliau menjadi sebutan ramai pengamal media dan penyokong menerusi media sosial.
Pada usia 40 tahun, Vozinha dianggap cukup menakjubkan selaku penjaga gol kerana beliau memiliki refleksi yang cukup baik dan pantas menyelamatkan keadaan seperti pemain muda lain.
Disebabkan itu ramai memberi tumpuan kepada Vozinha sehingga jumlah pengikut Instagram beliau bertambah dalam tempoh masa yang pantas untuk menjadikan dirinya dikenali ramai.
“Usia 40 tahun cipta penampilan sulung di pentas Piala Dunia 2026, dan cipta 7 penyelamatan yang sangat berkualiti. Dia lakukan segalanya dengan lebih baik berbanding pemain lain,” ujar VeloBet Frankfurter di X.
“Sesetengah pemain mencipta sejarah dengan merangkul trofi, tapi ada juga pemain yang tidak menyerah dan mencipta sejarah tersendiri untuk dikenali satu dunia. Itulah Vozinha,” Jewelries.
Tangisan gembira Vozinha
Seusai perlawanan, Vozinha dilihat menangis kegembiraan dan pada masa sama ralat kerana tidak dapat membawa ibunya ke stadium atas isu Visa.
“Saya menangis selepas perlawanan kerana saya membesar dengan datuk dan nenek sejak kecil. Mereka dah meninggal dunia jadi mereka tidak dapat melihat saya di sini sekarang.
“Manakala ibu saya pula tidak dapat bersama saya kali ini kerana masalah visa dan kami tak mempunyai kewangan yang baik untuk melakukannya tepat pada masa,” kata Vozinha.
Apapun, nama Vozinha kini dijulang rakyat Cabo Verde selaku hero menerusi kekebalan beliau yang memastikan negara itu langsung tidak dibolosi ketika berdepan Sepanyol.
Sudah tentu ini menaikkan lagi moral Vozinha bersama rakan-rakan lain untuk mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik bagi siri perlawanan akan datang.





