Pengadil FIFA Teruk
Rata-rata penyokong di media sosial tidak berpuas hati dengan kualiti pengadil pada aksi berlangsung semalam.
Di media sosial, riuh dengan pelbagai kritikan daripada para penyokong bola sepak tempatan mengenai kualiti pengadil tempatan, Muhammad Nazmi bin Nasaruddin.
Jika diikutkan, Nazmi ini merupakan pengadil yang mempunyai profil cukup tinggi dengan kredibiliti terbaik untuk menguruskan aksi-aksi tumpuan dalam dan luar negara sebelum itu.
Cuma nama beliau secara tiba-tiba semalam menjadi bualan ramai dek kerana kualiti pengadilannya dianggap lemah ketika aksi membabitkan Selangor dan Kuching City.
Apa yang sebenarnya berlaku?
Pada aksi semalam, Nazmi pada asasnya bertindak dengan sangat baik mengawal permainan yang cukup besar itu kerana ia membabitkan dua pasukan tumpuan peminat di Malaysia kini.
Cuma, sedikit insiden di penghujung perlawanan berlaku apabila ada terjahan dilakukan oleh Haziq Nadzli (penjaga gol Kuching City) sebanyak dua kali kepada pemain Selangor tidak diberi perhatian oleh beliau.
Malah, Nazmi juga tidak menggunakan sistem Video Assistant Referee (VAR) untuk menilai semula tindakan tersebut, walaupun ada dakwaan daripada siaran langsung itu menyatakan Haziq sepatutnya dilayangkan kad merah.
Peminat mengamuk di media sosial
Seusai perlawanan, beberapa peminat Selangor tampil tidak berpuas hati di media sosial dengan tindakan Nazmi yang mengabaikan situasi tersebut, walaupun beliau boleh menilai semula menerusi VAR.
Malah pengendali Selangor sendiri, Kim Pan-gon tampil dengan reaksi tidak berpuas hati terdahulu dari tepi padang mengenai insiden berkenaan.
Beberapa kritikan turut dilemparkan dengan ada sesetengah penyokong menganggap lencana FIFA pada seragam dikenakan oleh Nazmi tidak layak dek kerana mutu pengadilan beliau.
Bukan sekali Selangor hadapi masalah pengadil
Jika diikutkan, ini bukan sekali Selangor menerima masalah daripada pengadil kerana aksi sebelum itu juga mereka turut menghadapi situasi lebih kurang sama.
Pada aksi berdepan Negeri Sembilan lalu, dua gol daripada The Red Giants dibatalkan oleh pengadil dengan dakwaan ‘off side’ walaupun pada hakikatnya keputusan tersebut diragui.
Desakan peminat di media sosial juga mengharapkan supaya kali ini pihak pengurusan Selangor membuat laporan tidak puas hati akan kualiti pengadil supaya segalanya menjadi lebih baik.
Apapun, isu pengadil tempatan saban tahun akan ada cerita tidak enak bakal kita dengar terutama sekali jika ia membabitkan perlawanan-perlawanan besar.
Pengharapan peminat sudah tentu supaya kualiti pengadil terus dipertingkatkan dan keupayaan mereka sendiri dalam menggunakan sistem VAR untuk mengelakkan hal-hal kontroversi seperti ini terus berlaku.






