Pengadil Cap Ayam
Situasi bola sepak di Malaysia musim ini terus tampil dengan kontroversi membabitkan keputusan pengadil perlawanan.
Jika sebelum ini beberapa tindakan pengadil kurang disenangi peminat, situasi tersebut tampaknya terus berlangsung kini dengan membabitkan aksi antara Terengganu dan Kuala Lumpur City (KL City).
Pada aksi Liga Super minggu ini, Terengganu selaku tuan rumah mencatat kekalahan tipis 0-1 di tangan KL City menerusi ledakan tunggal daripada, Antonio Gomes.
Secara keseluruhan, aksi ditampilkan kedua pasukan cukup mengujakan kerana masing-masing saling berbalas serangan untuk mendapatkan gol.
Pengadil merencatkan permainan
Pada aksi itu juga, kelibat pengadil bertugas, Mohd Fusser bin Mad Sallih menjadi tumpuan pemerhati dan peminat bola sepak kedua kelab tersebut menerusi tindakan dan keputusan diambil.
Beberapa keputusan beliau yang kerap meniupkan wisel permainan dianggap mengganggu rentak permainan, selain gol tidak disahkan dirinya buat Terengganu juga mengundang amukan peminat.
Pada awalnya, penyerang Terengganu, Gervane Kastaneer berjaya meledak gol pembukaan perlawanan sebelum Mohd Fusser mengesahkan ianya dibatalkan menerusi VAR.
Menerusi VAR, Mohd Fusser mengesan ada kekasaran terlebih dahulu dibuat oleh pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam kepada Paulo Josue, walaupun peminat mendakwa ianya lebih kepada simulasi dan kelebihan terarah kepada pemain Sang Penyu tersebut.
Ini sekali gus menutup kelebihan Terengganu dan penyokong tuan rumah menganggap keputusan tersebut tidak wajar dibuat dan meluahkan amarah di media sosial.
Selain itu, beberapa kali tiupan wisel dibunyikan akibat pertembungan pemain kedua kelab tersebut, walaupun ada sesetengah keputusan dianggap cukup meragukan.
Penyokong Sang Penyu kritik pengadil
Di media sosial, pelbagai kritikan dan luahan dilontarkan oleh peminat mengenai kualiti dipamerkan oleh Mohd Fusser sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung.
Pertikaian demi pertikaian timbul, sekali gus membuktikan isu pengadil masih menjadi tumpuan utama pada minggu ini di media sosial dalam kalangan peminat.
Malah, ada yang turut menyifatkan kualiti pengadil sebagai ‘cap ayam’ dan pelbagai lagi kritikan keras ditujukan kepada Mohd Fusser kerana tidak berpuas hati.
Terengganu perlu salahkan diri
Walau tindakan pengadil menjadi tumpuan utama, para penyokong Terengganu juga perlu menyalahkan pasukan kesayangan mereka sendiri menerusi aksi tidak konsisten telah ditampilkan.
Musim ini boleh dikatakan Sang Penyu gagal menampilkan kualiti permainan lebih baik dan beberapa kali mereka tewas dek kerana kesilapan sendiri di atas padang.
Beberapa peluang terhidang juga gagal ditewaskan pada aksi semalam, dan mereka perlu bangkit selepas ini tanpa mengharapkan kepada keputusan pengadil sahaja.





